Jangan berani jual lot tanah

SADONG JAYA: Kerajaan Sarawak akan menyeneraihitamkan penerima Skim Pembesaran Kampung (SPK) yang kemudiannya menjual lot kepada pihak lain.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, perkara itu pernah berlaku dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) mengambil tindakan sewajarnya dengan menyenaraihitamkan mereka.

“Pada dasarnya kita tidak membenarkan pemilik asal SPK menjual lot mereka dan jika perkara ini berlaku, kita tarik balik surat hak milik tanah dan senarai hitamkan mereka.

“Sekiranya mereka ingin berpindah atau apa-apa alasannya, mereka harus memohon kepada JTS terlebih dahulu,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat tapak SPK Kampung Pendam di sini pada Sabtu.

Ketika mengulas mengenai SPK Sadong Jaya Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II menambah, ia dilaksanakan dengan spesifikasi baharu.

“Spesifikasi baharu merangkumi kerja menembok tanah, pembinaan parit konkrit dan jalan yang diturap. “Bagi SPK Sadong Jaya ini melibatkan kawasan seluas 64 ekar untuk 290 lot dengan kos RM14.821 juta,” jelasnya.

Tegasnya, Kerajaan Sarawak memberi banyak subsidi bagi membolehkan penduduknya memiliki rumah dan tanah.

“Anggaran untuk satu lot di bawah projek skim berkenaan ialah RM119,000 tetapi kita hanya mengenakan bayaran sebanyak RM2,500 kepada pemilik sebagai premium tanah.

“Malah, bayaran RM2,500 boleh dibayar secara ansuran sekiranya mereka tidak mampu membayarnya sekali gus,” ujarnya. Beliau turut memberitahu, pembinaan SPK Sadong Jaya dijangka siap pada April depan.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak