KKM jangka 500 kes harian COVID-19 menjelang Mei

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menjangka 500 kes harian positif COVID-19 menjelang Mei ini jika rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata jangkaan itu dibuat berdasarkan trend penurunan nilai kebolehjangkitan (RT) atau R-naught (R0) iaitu 0.87 semalam berbanding 0.9 pada 28 Februari lalu.

“Bagaimanapun, sekiranya SOP tidak dipatuhi, RT dijangka meningkat semula melebihi 1.0, sekali gus meningkatkan bilangan kes harian,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), di sini, hari ini.

Sehingga semalam, Dr Adham berkata, kebanyakan negeri mencapai nilai RT kurang 1.0 kecuali Terengganu dan Pulau Pinang.

Mengulas taburan kes COVID-19 mengikut daerah di Semenanjung, beliau berkata, bagi tempoh 28 Februari hingga 14 Mac, zon hijau meningkat daripada enam daerah kepada 11 daerah.

Beliau berkata, daerah terbabit adalah empat di Kedah, masing-masing dua di Pahang dan Perak, manakala masing-masing satu di Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

“Dalam tempoh sama juga, berlaku pengurangan zon merah iaitu daripada 42 daerah kepada 35 daerah yang direkodkan di Semenanjung, manakala zon kuning meningkat daripada 31 daerah kepada 37 daerah,” katanya. – BERNAMA

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak