Mangsa disyaki disambar buaya belum ditemui

SRI AMAN: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri dibaham buaya ketika cuba menyelam mata kailnya yang tersangkut di tengah sungai berhampiran Rumah Panjang Francis Kaong Ng Skrang, semalam.

Menurut saksi kejadian, mangsa dikenali sebagai Taid Jepit, 61, pada awalnya dilihat memancing seorang diri di tebing sungai tersebut sekitar jam 3 petang.

Menurutnya, mangsa bertindak terjun ke dalam sungai untuk menyelam kailnya yang difahamkan tersangkut di tengah sungai namun kelibatnya tidak kelihatan selepas beberapa minit menyelam biarpun mangsa merupakan seorang yang pandai berenang.

Dalam pada itu Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula jam 10 pagi semalam dianggotai seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong yang diketuai PPgB Vincent Baling Yabi.

“Operasi pencarian menggunakan kaedah surface searching dalam radius pencarian sekitar 2 Kilometer ke hulu dan 2 Kilometer ke hilir sungai dari lokasi terakhir mangsa dilihat.”Setakat jam 11 pagi ini mangsa masih belum dijumpai,” ujarnya.

Tambahnya, operasi pencarian turut dibantu oleh anggota dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam, penduduk kampung serta beberapa buah bot dari agensi-agensi terbabit.

 

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak