Manisnya toleransi di Sarawak

HANGAT diperdebatkan kini penggunaan kalimah Allah dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Isu penggunaan kalimah Allah ini mula menjadi kontroversi di bibir semua setelah Mahkamah Tinggi pada Rabu lalu membenarkan penggunaan kalimah Allah dan tiga lagi perkataan lain iaitu Baitullah, Kaabah dan solat oleh penganut Kristian seluruh negara dalam penerbitan pendidikan agama berkenaan.

Di Malaysia, ada agama selain Kristian yang sejak dahulu menggunakan nama Allah dalam teks mereka iaitu agama Sikh.

Walaupun agama ini lahir selepas Islam, tetapi demikianlah teks mereka.

Malah, ada juga bukan Muslim menyebut nama dalam lagu-lagu negeri di Malaysia yang mempunyai perkataan Allah seperti lagu Negeri Selangor seperti penggunaan perkataan Allah dan terdapat nama Muhammad pada logo PDRM.

Sudah termaktub bahawa nas-nas al-Quran dan sunah tidak membantah sesiapa yang memanggil Tuhan dengan panggilan Allah sekalipun bukan Muslim oleh kerana itulah nama Tuhan yang sebenar.

Namun berdasarkan penilaian penulis, terdapat segelintir pihak yang tidak dapat menerima dengan hati terbuka keputusan badan kehakiman tertinggi kali ini.
Isu ini bukan baru diketengahkan oleh rakyat di negeri ini berikutan kes ini bermula 13 tahun lalu apabila Jill Ireland memulakan permohonan semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 supaya dikembalikan lapan cakera padat (CD) yang mempunyai kalimah Allah di bahagian tajuk yang telah dirampas daripadanya pada 11 Mei 2008.

Jill yang berasal dari Sarawak memfailkan semakan kehakiman untuk menuntut semula CD itu dan pada masa yang sama Jill juga memohon pengisytiharan mengenai hak berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian.

Setelah 13 tahun, pada 10 Mac (Rabu) menyaksikan prosiding yang diadili oleh Hakim Datuk Nor Bee Ariffin membenarkan deklarasi dalam mengamalkan kebebasan beragama yang terlindung mengikut Perkara 3, 8, 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.

Laporan sebuah akhbar nasional mendedahkan keputusan Nor Bee mengetengahkan satu deklarasi bahawa arahan kerajaan yang dikeluarkan oleh Bahagian Kawalan Penerbitan dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertarikh tahun 1986 adalah salah di sisi udang-undang dan tidak berperlembagaan.

Selain itu, satu deklarasi berdasarkan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan bahawa pemohon dijamin hak kesamarataan di sisi undang-undang dan dilindungi daripada diskriminasi antara warganegara antara lain, atas alasan-alasan keagamaan dalam pentadbiran undang-undang.

Nor Bee berkata, Kabinet pada 1986 tidak mengenakan sekatan penuh terhadap keempat-empat perkataan itu, namun KDN melangkaui kuasanya, maka penggunaan kalimah Allah ketika itu boleh digunakan oleh gereja dengan syarat penerbitan itu hanya untuk orang Kristian.

Keputusan berkenaan mendapat banyak perhatian pelbagai pihak terutamanya pemimpin dari Semenanjung hingga menggesa kerajaan mengetengahkan keputusan ini semula kepada Mahkamah Rayuan.

Antara kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin tempatan di Semenanjung itu bagi penulis tidak bersifat menyeluruh hingga mengetepikan perasaan masyarakat bukan Islam sedangkan sudah termaktub dalam kitab mereka penggunaan kalimah Allah sejak dahulu lagi.

Namun tidak bagi Kerajaan Sarawak yang tidak menyanggah pendapat di sana dan membenarkan masyarakat Kristian menggunakan perkataan Allah dalam urusan keagamaan mereka.

Pada Khamis, pejabat Ketua Menteri Sarawak mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan GPS akan tetap mempertahankan toleransi beragama di Sarawak memandangkan ia menjadi dasar perpaduan rakyat di negeri ini.

Menurut laporan Bernama, kenyataan itu bertegas bahawa pentadbiran negeri di bawah kepemimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg konsisten terhadap dasar yang berkaitan toleransi agama dalam negeri, sebagaimana yang diterapkan oleh kepimpinan terdahulu yang diterajui oleh Tun Abdul Taib Mahmud dan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

Menegaskan penubuhan Unifor menjadi bukti bahawa masyarakat Islam menghormati agama Kristian sebagaimana penganut agama itu turut menghormati akan Islam dan agama-agama lain.

Justeru, Kerajaan Sarawak tetap dengan pendirian tiada sebarang sekatan bagi Kristian di Sarawak untuk menggunakan perkataan Allah dengan penuh hormat.

Malah toleransi yang manis di Sarawak jelas kelihatan dua rumah ibadah iaitu masjid dan gereja dibina bersebelahan di Lutong, Miri yang wajar membuka mata banyak pihak.

Isu ini tidak wajar diperdebatkan lagi setelah ia diputuskan oleh badan kehakiman di peringkat Mahkamah Tinggi.

Ini kerana ia tidak menggoyahkan akidah orang Islam sekalipun malah ia juga tidak mencalar imej penganut Kristian atau agama lain.

Malah isu yang diperdebatkan ini hingga dicium media Indonesia hingga menimbulkan pelbagai spekulasi di negara itu terhadap kematangan masyarakat negara ini menyelesaikan isu melibatkan kalimah Allah ini.

Sekali lagi penulis berpendapat, dalam konteks Malaysia, isu ini tidak wajar menjadi polemik berikutan ia telah menimbulkan kegusaran mungkin boleh menimbulkan pelbagai persoalan lain hingga kurang enak didengar nanti.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak