Sekolah di zon merah tutup mulai esok

KUCHING: Kerajaan Sarawak memutuskan menutup semua sekolah di zon merah berkuat kuasa esok.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata tempoh penutupan adalah selama dua minggu (14 hari).

“Kita nampak ada jangkitan Covid-19 di kawasan sekolah, yang mungkin dibawa oleh ibu bapa atau ibu bapa dijangkiti oleh anak dari sekolah, dan ada juga guru.

“Jadi demi keselamatan anak-anak dan masyarakat, Kerajaan Sarawak memutuskan menutup semua sekolah di zon merah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19, hari ini.

Sementara, Abang Johari berkata Sarawak tidak akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebaliknya hanya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan yang berisiko tinggi.

“Kalau buat PKP, masalahnya ekonomi kita akan terjejas….jadi kalau buat PKPD, katakan sesebuah tempat itu teruk maka kita ‘lockdown’ di situ sahaja.

“Ini kerana Sarawak luas, kita masih banyak zon hijau dan kuning,” katanya.

Menjelas lanjut, beliau berkata kadar jangkitan Covid-19 yang tinggi dikesan ketika ini adalah melibatkan institusi.

“Sebelum ini Depot Tahanan Imigresen Semuja, sekarang di Pusat Latihan Polis (Pulapol) dan sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata operasi perniagaan masih dibenarkan namun ditetapkan sehingga jam 10 malam.

“Kita masih perlu membuka ekonomi kerana tidak mahu menjejaskan pekerjaan dan menyebabkan rakyat kehilangan pekerjaan,” katanya.

Abang Johari (tengah) bersama Uggah (kiri) dan Kui Hian (kanan) pada sidang media Penguatkuasaan SOP Covid-19, hari ini. Gambar Jabatan Penerangan.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak