Tidak boleh balik rumah

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memutuskan tidak membenarkan pelajar yang tinggal di institusi pendidikan dan sekolah berasrama keluar atau balik dalam tempoh 14 hari.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata mereka dikehendaki terus kekal di asrama masing-masing demi keselamatan diri dan keluarga.

“Jika tinggal di asrama, mereka akan lebih selamat.

Mereka boleh keluar dalam kawasan institusi dan sekolah tetapi mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 bagi Sarawak di bangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) lama di sini, semalam.

Beliau menambah pihaknya juga mengarahkan residen memantau institusi pendidikan dan sekolah berasrama di kawasan masing-masing.

“Jika mereka memerlukan apa-apa bantuan, beritahu kami,” katanya.

Sementara, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata pihaknya bersetuju dengan syarat tambahan bagi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang disyorkan oleh Bahagian Kuching, Betong, Sibu, Bintulu dan Miri.

Katanya syarat tambahan SOP itu akan mula berkuat kuasa pada 21 April ini (hari ini), dengan maklumat lengkap mengenainya akan dipaparkan di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam pada itu, Uggah berkata JPBN memutuskan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Batu Gong, Siburan memandangkan keputusan saringan kedua tidak mendapati sebarang kes positif yang baharu.

“Di samping itu juga tiada bukti yang menunjukkan jangkitan masih menular di kawasan tersebut,” katanya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak