Ambulans terbabas dan terlanggar dua buah kenderaan dari arus bertentangan

KUCHING: Tindakan cuai pemandu sebuah ambulans membawa padah selepas kenderaan dipandunya terbabas serta melanggar dua buah kenderaan lain di Jalan Song-Sekama, pagi tadi

Kemalangan jalan raya sekitar jam 8.19 pagi itu menyebabkan seorang jururawat iaitu penumpang depan tengah ambulans terbabit patah di bahagian tulang bahu kiri manakala pemandunya, 52, cedera ringan di bahagian leher.

Sementara itu seorang lagi penumpang depan kiri ambulans, pemandu serta penumpang kedua-dua kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan berlaku apabila pemandu ambulans jenis Toyota Hiace yang datang dari arah Jalan Laksamana Cheng Ho menghala ke Jalan Song telah hilang kawalan selepas melalui lampu isyarat Jalan Tun Jugah-Jalan Song.

“Akibat daripada itu, ambulans tersebut telah terbabas dan masuk ke laluan bertentangan dan terlanggar dua buah kenderaan yang sedang berhenti semasa lampu isyarat merah sebelum ia (ambulans) tumbang ke sebelah kiri.

“Ketika itu cuaca dalam keadaan hujan dan jalan licin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

LANGGAR… kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat dilanggar ambulans

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak