Bapa Kaul perlu ada pelapis

MUKAH: Selama saya berjuang dan dipilih bagi mempertahankan budaya Melanau sejak 2001 sebagai Bapa Kaul, saya berharap akan ada golongan muda berminat mempertahankan adat resam Melanau ini daripada pupus.

Itu harapan Bapa Kaul Mukah, Edmund Salman Tuna, 61, ketika ditemui Suara Sarawak baru-baru ini.

Beliau juga menegaskan, generasi hari ini khususnya masyarakat Melanau harus berusaha untuk mempelajari mengenai budaya mereka.

“Janganlah kita hanya belajar budaya orang lain sebaiknya pelajarilah budaya kita sendiri,” tegasnya yang sudah menjadi Bapa Kaul lebih 20 tahun.

Beliau berasa berbangga dan berterima kasih kepada semua pihak kerana memilih dan memberi kepercayaan kepadanya untuk mempertahankan budaya Melanau itu.

Pada masa sama, Edmund menyuarakan harapan kepada ketua kampung, penghulu agar berusaha mencari golongan pelapis untuk menjadi Bapa Kaul.

“Saya ada menyatakan kita harus mencari pelapis Bapa Kaul. Saya masih ada kudrat dan kekuatan untuk mengajar mereka yang berminat.

“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan.

Bayangkan jika saya tiada lagi, jika tiada golongan pelapis, siapa lagi yang akan meneruskan budaya kita ini?

“Kita mesti berusaha mencari golongan pelapis bermula dari sekarang untuk belajar bersama-sama dengan saya,” jelas Edmund.

Untuk makluman, Bapa Kaul merupakan perantara atau orang tengah yang akan menghubungkan penduduk di dunia nyata dengan ‘Ipok’ di alam maya.

Ini kerana salah satu aspek penting dalam upacara kaul ialah ia hendaklah diketuai oleh seseorang lelaki yang diiktiraf oleh masyarakat dan juga arif tentang adat dan kepercayaan.

Oleh itu, Bapa Kaul memainkan peranan penting dalam pesta ini kerana dia bertanggungjawab untuk merayu makhluk halus dan ‘Ipok,’ menghalau segala kejahatan dan malapetaka yang mungkin menimpa.

Malah, dia juga bertanggjawab memastikan pantang larang dipatuhi dan menghukum mereka yang ingkar.

Bapa Kaul juga merupakan seseorang yang dihormati, disegani masyarakat kerana keperibadiannya, keturunan dan pengetahuannya dari segi adat resam dan budaya Melanau. Dengan itu Edmund berkata, menjadi Bapa Kaul seseorang itu memainkan peranan penting kerana dia diamanahkan untuk menjaga identiti komuniti Melanau.

Berkongsi lanjut kisahnya sebagai Bapa Kaul, Edmund mendedahkan dia dipilih pada 2001 berdasarkan kepada kelayakan ilmu serta kemampuan yang dimilikinya.

“Kelebihan ini bukan daripada saya ia tetapi daripada anugerah yang diperturunkan oleh mereka yang terdahulu.

Jika tiada orang yang tidak tahu mengenai adat resam ini, susah juga.

“Memikul tugas sebagai Bapa Kaul juga banyak cabaran, antara dari terbitnya matahari hingga terbenamnya matahari, Bapa Kaul tidak boleh ke laut dan tidak boleh masuk hutan selama tiga hari.

“Manakala bagi penduduk kampung, mereka juga akan berpantang selama sehari pada hari kaul,” kongsinya lagi.

Edmund menjelaskan, setiap kali menjalankan aktiviti di kampung khasnya adat budaya termasuk upacara kaul, ada pantang larang yang perlu dipatuhi.

“Saya cuma mahu menolong orang kampung… gaji memang tiadalah dan gelaran Bapa Kaul ini juga diamanahkan kepada saya.

“Saya juga tidak mendambakan anugerah.

Saya hanya ingin hati yang senang dan melakukan sesuatu yang saya minat. Saya gembira kerana terpilih menjadi antara individu yang menjaga adat resam Melanau ini,” katanya.

Mengimbau Anugerah Ikon Melanau (Seni Tari, Lagu dan Anyaman) yang diterimanya pada 2018, Edmund berterima kasih kepada Pertubuhan Belia Parlimen Mukah kerana menghargai usahanya selama ini.

“Terima kasih kerana mengiktiraf perjuangan saya selama ini.

Walaupun ia satu sijil, saya sangat bersyukur kerana perjuangan saya tidak sia-sia.

“Paling penting kini kita mesti pertahankan budaya kita.

Teruskan tradisi ini, malah perkara yang tiada jangan diadakan, jangan ditokok tambah.

“Kepada anak muda Melanau di luar sana mudah-mudahan mereka berminat menjadi Bapa Kaul sekali gus mempertahankan budaya kita,” harapannya lagi.

Semalam Edmund bersama sama mantan Ketua Kampung Tellian Tengah yang juga Pengerusi JKTeKA, Bonaventure Juana Lupeih dengan beberapa orang kampung seawal 7 pagi pergi ke Tapak Kaul Serahang Kakan untuk menghantar Serahang bagi menyempurnakan ritual ‘Kakan Kala.’

Sebagai adat dan syarat jamuan sederhana turut dilakukan di Tapak Kaul Serahang Kakan selepas ritual dan bacaan dilakukan oleh Bapa Kaul kepada Ipok.

Dengan harapan semua penyakit terutamanya Covid-19 dapat disingkirkan, selain rezeki semua penduduk diharapkan bertambah dan melimpah ruah.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak