Bukan untuk susahkan rakyat

BINTULU: Arahan untuk membuat ujian saringan Covid-19 (rT-PCR) sebelum masuk dan transit di Bintulu yang akan tamat pada 18 April dilanjutkan sehingga 27 April depan.

Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu bersetuju untuk melanjutkan tempoh ujian saringan itu serentak dengan tarikh akhir PKPB atau SOP Diperketatkan yang berkuat kuasa 14 hingga 27 April depan.

Beliau berkata, pelanjutan tempoh tersebut bagi mengurangkan jangkitan Covid-19 dan bukan untuk menyusahkan masyarakat.

“Ini kerana pelaksanaan ujian saringan itu dilihat dapat mengurangkan pergerakan dari kawasan lain ke Bintulu. “Kalau tiada perkara penting atau munasabah sebilangan besar mereka tidak akan melintasi Bintulu, namun ini satu pendekatan kita untuk mengurangkan pergerakan antara zon,” katanya pada sidang media di Wisma Residen di sini.

Bagi mengawal pandemik Covid-19, Jack berkata, pihaknya telah membahagikan Bintulu kepada 36 Zon. “Tetapi, kes masih tetap meningkat. Justeru, kita akan melihat SOP ini dan akan ubah suai ataupun perketatkan lagi untuk mengurangkan penularan,” jelasnya lagi.

Antara pendekatan yang diambil adalah dengan mengadakan sekatan jalan raya di empat lokasi bermula 17 hingga 27 April ini. Empat lokasi itu masingmasing di Jalan Sebiew, Jalan Tun Hussein Onn, Jalan Persimpangan Stadium Muhibbah dan Jalan Tanjung Batu.

Dalam pada itu Jack berkata, majlis sosial seperti kenduri, majlis pernikahan, perkahwinan, pertunangan, resepsi, doa selamat, akikah, tahlil, sambutan ulang tahun kelahiran, pertemuan semula, hari keluarga, majlis tanggungjawab sosial korporat (CSR) tidak dibenarkan dalam SOP tersebut.

Beliau berkata, semua majlis sosial tidak dibenarkan kecuali untuk upacara pengebumian yang tidak dapat dielakkan. “Kami di peringkat daerah juga mengarahkan sekiranya berlaku ucapacara pengebumian dan sebagainya, pihak berkenaan atau ketua kaum di kawasan berkenaan wajib melaporkannya kepada pejabat daerah atau pihak polis supaya anggota polis dapat dihantar untuk membuat kawalan.

“Penularan pandemik ini adalah disebabkan pergerakan kita. Kalau tiada perkara penting, lebih baik duduk di rumah kerana berada di rumah adalah lebih selamat pada masa ini,” tambahnya. Beliau turut menggesa masyarakat di Bintulu agar mematuhi SOP diperketatkan.

“Kami akan memaklumkan kepada masyarakat sekiranya berlaku perubahan. “Kami turut mendengar keluhan masyarakat tetapi ini penting demi kebaikan, dan pendekatan untuk mengurangkan penularan penyakit ini,” tambahnya.

Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung; Ketua Polis Daerah Bintulu Supt Zulkipli Suhaili dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu Muhammad Yakup Kari turut hadir.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak