Cabaran dunia penerbitan

KUCHING: Cabaran utama penerbitan buku ialah memperoleh manuskrip bagi berjumpa dengan penulis susulan pandemik Covid-19. Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, Abang Haliman Abang Julai berkata, pihak penerbit terhalang untuk keluar mencari bahan dan menjalankan kajian lapangan berbanding sebelum ini.

“Kekangan seumpama ini melambatkan proses penerbitan kerana pendekatan secara bersemuka tidak diamalkan dan hanya dilakukan secara dalam talian sahaja.

“Tetapi daripada sisi lain, keadaan ini menjadikan penerbit lebih kreatif untuk mencuba pelbagai kaedah lain untuk memperoleh manuskrip yang baik dan bermutu,” katanya kepada Suara Sarawak sempena sambutan Hari Buku semalam.

Hari Buku Sedunia merupakan hari meraikan penerbitan buku, pembaca dan hak cipta yang disambut pada 23 April setiap tahun. Tambah Haliman, cabaran kepada masyarakat pembaca pula ialah kewujudan e-buku di pasaran yang mencetus jurang antara masyarakat bandar dengan luar bandar.

“Contohnya, golongan luar bandar perlu ada capaian akses Internet bagi mendapatkan buku yang diinginkan berbanding membeli buku tersebut di kedai seperti sebelum ini.

“Perkara tersebut menyebabkan kumpulan penerbit terpaksa menanggung dua kos iaitu kos percetakan dan kos penerbitan secara konvensional,” jelasnya.

Tegasnya, secara tidak langsung, kewujudan e-buku menyebabkan pasaran buku bercetak menurun sedikit tetapi saya yakin akan terus ada permintaannya.

“Kemunculan e-buku dan penjualan buku secara dalam talian, kesan daripada perkembangan teknologi ini, mewujudkan peningkatan persaingan dalam pasaran buku. “Oleh itu, keadaan ini memberi kelebihan dan menguntungkan pihak penerbit yang memiliki kelebihan dan kemampuan untuk menguasai pasaran berbanding penerbit secara konvensional yang tidak dilengkapi dengan teknologi dan kurang ilmu pendigitalan,” ujarnya

. Haliman memberitahu, untuk bersaing, pihak penerbit perlu lebih kreatif dan kritis dalam menghasilkan persembahan terbaik dan berdaya saing supaya menarik minat pembaca terutamanya mengikut aliran semasa supaya mewujudkan suasana perbukuan yang lebih pesat.

“Beberapa penerbit besar dan sedia ada dilihat turut mengembangkan perniagaan dengan memasuki pasaran penerbitan buku digital untuk terus bersaing di pasaran. “Kemajuan teknologi komputer, peralihan bentuk kandungan dan cara bahan disebarkan daripada menggunakan sistem berbentuk analog kepada digital, dan kemunculan Internet banyak memberi kesan kepada persekitaran strategik industri penerbitan buku dengan mewujudkan kaedah baharu,” katanya.

Hari Buku Sedunia juga merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) untuk menggalakkan tabiat membaca, penerbitan dan hak cipta.

Bagaimanapun, sesetengah negara memilih untuk menetapkan hari tertentu pada bulan tersebut seperti Khamis pertama Mac seperti di United Kingdom. Hari ini juga dikenali sebagai Hari Buku Antarabangsa dan serupa dengan acara lain yang diadakan di seluruh dunia bagi meraikan budaya membaca meliputi sambutan Hari Kanakkanak Antarabangsa dan Malam Buku Dunia.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak