Cadangan penutupan sekolah secara berpilih akan dimaklumkan segera

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Negeri (JPBN) telah menghantar senarai sekolah yang pelajarnya dijangkiti Covid-19 kepada Jabatan Pendidikan Negeri.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pihaknya juga telah mengemukakan cadangan penutupan sekolah kepada Pengarah Pendidikan Negeri.

“Kini kita sedang menunggu laporan daripada pihak Jabatan Pendidikan Negeri. “Mungkin esok atau selewat-lewatnya pada Isnin kita akan mendapat jawapan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika pada sidang media harian pandemik Covid-19 di sini hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi JPBN bagaimana menambah bukan semua sekolah ditutup tetapi ia bersasar. “Ia bergantung kepada Jumlah jangkitan dan kita masih menyasarkan kepada beberapa tempat sahaja.

“Tempat-tempat lain yang statusnya kuning dan hijau operasi sekolah bersemuka terus berjalan,” ujarnya.

Turut dilaporkan semalam satu kluster yang melibatkan sekolah melalui seorang guru iaitu kluster Jalan Disa Sibu.

“Kluster Jalan Disa, Sibu adalah sebuah kluster komuniti yang telah dikesan melibatkan sebuah sekolah rendah agama di Jalan Disa, Sibu.

“Indeks kes kepada kluster ini adalah kes ke- 21,347 yang melibatkan seorang perempuan warga tempatan (Sarawak) berumur 28 yang dikesan melalui saringan individu bergejala di Klinik Kesihatan Lanang pada 13 April lali dan telah disahkan positif Covid-19,” ujarnya.

Menurutnya lagi, indeks kes ini merupakan seorang guru di sekolah rendah tersebut telah mengalami gejala pada 9 April 2021 dan pernah melakukan pergerakan rentas zon ke Daerah Kabong, Betong pada 31 Mac hingga 04 April 2021 yang lepas semasa cuti sekolah.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak