Covid-19: 208 kes pulih, PKPD Kampung Serpan laut ditamatkan

KUCHING: Sebanyak 208 kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital hari ini.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah pulih atau dibenarkan discaj setakat hari ini adalah seramai 16,452 orang atau 80.84 peratus dari jumlah keseluruhan kes Covid19 di Sarawak.

Kata JPBN, sebanyak 76 kes telah dibenarkan discaj dari Hospital Bintulu, Hospital Sibu (35), Hospital Miri (22), PKRC Serian (19), Hospital Sarikei (16), PKRC Penjara Sri Aman (13), PKRC Mukah (11), Hospital Umum Sarawak (8), PKRC di bawah Hospital Kapit (6) dan PKRC Betong (2).

“Jumlah kes aktif yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di PKRC dan wad hospital mengikut hospital adalah seramai 3,713 orang.

“Manakala, 351 individu bawah siasatan (PUI) baharu telah dilaporkan dan tiada PUI yang menunggu keputusan ujian makmal,” jelasnya dalam satu kenyataan.

JPBN menambah Daerah Sri Aman telah kembali ke status Jingga daripada Merah setelah merekodkan hanya sejumlah 40 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Kata jawatankuasa tersebut, jumlah daerah berstatus Jingga telah meningkat kepada lima daerah dan jumlah daerah berstatus Merah telah menurun kepada 14 daerah.

“Enam belas daerah kekal berstatus Kuning dan lima daerah kekal Hijau,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, JPBN telah membuat keputusan untuk menamatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Serpan Laut, Asajaya.

Jelasnya, keputusan itu di buat kerana hasil saringan kedua tidak mendapati sebarang kes positif baharu.

“Di samping itu juga tiada bukti yang menunjukkan jangkitan masih menular di kawasan tersebut.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua agensi dan penduduk kampung atas kerjasama menjayakan PKPD ini,” kata JPBN.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak