Di dalam pejabat pun boleh didenda tidak pakai pelitup muka

SIBU: Lima individu yang bekerja di sebuah pejabat termasuk sebuah bank di sini masing-masing dikenakan kompaun sebanyak RM1,500, semalam.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit dalam satu kenyataannya semalam.

Menurut beliau, kompaun ini dikeluarkan kerana tidak memakai pelitup muka semasa bekerja di dalam pejabat.

“Kelima-lima subjek didapati tidak memakai pelitup muka ketika satu operasi pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Khusus (PKPK) yang diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Supritendan Collin Babat serta pasukannya menjalankan pemantauan di kawasan pejabat di sekitar bandar ini pada pagi tadi.

“Semasa pemantauan itu, pasukan kita mendapati individu berkenaan tidak memakai pelitup muka semasa bekerja,” jelas beliau.

Jelas Stanley, kelima-limanya dikompaun dan turut dibawa ke Balai Polis Sentral Sibu untuk tindakan lanjut bagi pengeluaran kompaun.

Beliau menambah, kompaun dikeluarkan atas kesalahan dibawah Peraturan (1) PPPPB (No.4) 2021 Langkah-langkah Pencegahan Penyakit Berjangkit Akta 342 1998.

“Subjek diarahkan untuk membayar kompaun di Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu sehingga 6 Mei ini,” tegas Stanley.

Rentetan itu, beliau menyeru agar warga Sibu yang bekerja di pejabat khususnya di dalam sektor perkhidmatan penting supaya mematuhi SOP pada setiap masa dan di mana-mana sahaja, termasuk memakai pelitup muka pada masa kerja di dalam pejabat.

“Pasukan pemantauan SOP PKPK yang diketuai oleh PDRM bersama agensi-agensi berkaitan dengan giat melakukan pemantauan di mana-mana pejabat bagi memastikan pematuhan SOP di kalangan pekerja dalam pejabat dipatuhi dengan ketat,” ujar beliau.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak