Dr. Annuar: Wajarkah sekolah di Sarawak dibuka?

‘3,176 kluster pendidikan dicalit, 14 hari seramai
177 guru, pelajar positif Covid-19 di Sibu’

SIBU: Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee mendedahkan seramai 177 guru dan pelajar di bahagian Sibu disahkan positif Covid-19 dari 11 April hingga 23 April yang lalu.

Ketika kemas kini perincian sekolah di bahagian ini yang terlibat pandemik itu di laman sosialnya sebentar tadi, beliau memberitahu, ia melibatkan 85 sekolah keseluruhannya dalam jangka tempoh tersebut.

“Bagi Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) melibatkan seramai 46 sekolah sementara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) membabitkan 23 sekolah,” katanya yang juga Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Kesihatan Awam di negeri ini.

Penyelaras Jawatankuasanya Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) itu berkata, selain membabitkan sekolah, wabak ini turut menjangkiti kanak-kanak prasekolah termasuk taska dan tabika.

Menurutnya, 11 taska/tadika dan empat prasekolah juga dijangkiti wabak itu.

“Ia juga mengancam sebuah sekolah swasta di bandar ini,” jelas Adun Nangka itu.

Rentetan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalani sebanyak 3,176 calitan terhadap kanak-kanak, pelajar dan guru terlibat.

“Patutkah sekolah dibuka di Sarawak? Kita tegur sesama kita,” tambah beliau lagi.

Pada 23 April lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penutupan sebahagian atau keseluruhan operasi sekolah bukan terletak di bawah bidang kuasa pihak kerajaan negeri namun atas penilaian Kementerian Kesihatan.

Jelasnya, pihak kementerian itu akan meneliti makluman daripada Kementerian Pendidikan sebelum keputusan akhir dibuat.

“Kalau Kerajaan Negeri berpendapat mahu tutup kesemua atau sebahagian sekolah di kawasan tertentu, mereka masih kena berbincang dengan dua kementerian ini terlebih dahulu.

“Bidang kuasa ini masih lagi dipegang dua kementerian itu dan ibu bapa tidak perlu berasa bimbang kerana kita memantau situasi,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya.

Beliau ditanya mengenai tindakan penutupan sekolah ketika ini susulan situasi Covid-19 yang membimbangkan di beberapa daerah di negeri seperti di Sarawak, Kelantan dan Sabah ketika ini.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak