Dua lagi kluster baharu diisytiharkan hari ini

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan dua kluster baharu iaitu Kluster Ulu Strass, Meradong, dan Kluster Melugu, Sri Aman.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, kluster Ulu Strass, Meradong merupakan satu kluster komuniti yang dikesan melibatkan penduduk di sebuah rumah panjang di Kilometer 2, Jalan Pakan di kawasan Ulu Strass, Meradong.

“Indeks kes kepada kluster ini adalah kes ke-24,953 merupakan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 66 tahun yang dikesan melalui saringan individu bergejala di Hospital Sarikei pada 16 April 2021.

“Kes indeks ini telah mendapat jangkitan daripada komuniti semasa berada di Daerah Pakan dan jangkitan telah merebak dalam kalangan ahli keluarga dan penduduk rumah panjang melalui pergaulan rapat sesama mereka,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah JPBN, hasil siasatan lanjut dan pengesanan kes secara aktif kepada kontak rapat kepada kes indeks ini serta aktiviti saringan bersasar ke atas penduduk rumah panjang tersebut, terdapat penambahan sebanyak 24 kes positif Covid-19.

“Bagi kluster Melugu, Sri Aman pula merupakan satu kluster melibatkan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang dikesan melibatkan sebuah sekolah menengah di Sri Aman.

“Kes indeks kepada kluster ini adalah kes ke-28,470 yang merupakan seorang guru lelaki berusia 32 tahun di sekolah menengah tersebut yang dikesan melalui saringan individu bergejala pada 21 April 2021 di Klinik Kesihatan Sri Aman,” jelasnya.

Menurutnya lagi, ujian saringan menggunakan Rapid Test Kit Antigen didapati reaktif pada 23 April 2021 dan kes ini telah dimasukkan ke pusat kuarantin di Sri Aman.

Katanya lagi, kes telah mendapat jangkitan dari komuniti semasa berada di Daerah Sri Aman.

JPBN turut memberitahu, Daerah Tanjung Manis telah bertukar ke status jingga daripada kuning setelah merekodkan sebanyak 25 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Ini menjadikan jumlah daerah berstatus jingga telah meningkat kepada lapan daerah.

“Sementara itu, 22 daerah kekal berstatus merah, sembilan kuning dan satu daerah berstatus hijau,” ujarnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak