Dua lelaki diburu polis meragut gelang dan rantai emas milik seorang wanita

KOTA SAMARAHAN: Polis memburu dua lelaki yang meragut gelang dan rantai emas milik seorang wanita di sebuah kedai runcit di Kampung Empila, semalam.

Insiden sekitar jam 3 petang itu berlaku ketika mangsa berusia 55 tahun mengambil wang bayaran daripada salah seorang suspek yang menyamar sebagai pelanggan.

Secara tiba-tiba suspek bertopi serta memakai pelitup muka itu terus merampas gelang dan rantai emas mangsa lalu melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Samarahan Deputi Superintendan Sudirman Kram yang mengesahkan kejadian berkata modus operandi kejadian di mana salah seorang suspek menunggu di dalam kereta manakala seorang lagi masuk ke dalam kedai.

“Selepas suspek mengambil barang kemas mangsa, suspek terus masuk ke dalam kereta dan memecut laju.

“Semasa kejadian suspek yang meragut mangsa tidak menggunakan sebarang senjata.

“Hasil siasatan awal mendapati nilai kerugian yang dihadapi mangsa dianggarkan RM12,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suara Sarawak