Empat tambahan kluster baharu diisytiharkan hari ini

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mengisytiharkan empat kluster baru iaitu dua di Daerah Miri, dan Daerah Kanowit serta Daerah Selangau masing-masing satu kluster.

Menurut kenyataan media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menyatakan bahawa, kluster pusat pembelajaran di Miri merupakan kes indeks bernombor 23,061 apabila seorang warga tempatan berusia 57 tahun dikesan melalui ujian saringan bergejala. Saringan kontak rapat tempat kerja, ahli keluarga dan sosial telah dilakukan oleh pejabat kesihatan yang melibatkan seramai 95 individu yang telah disaring.

“Hasil Saringan mendapati seramai 38 dikesan positif Covid-19, 11 dikesan negatif dan 46 masih menunggu keputusan makmal.

“Di daerah yang sama, kluster Air Padang melibatkan kluster tempat kerja agensi kerajaan. kes indeks bernombor 19,368 dikesan hasil saringan bergejala di daerah Kuching semasa melawat keluarganya. Seramai 203 individu telah disaring dan hasil saringan mendapati 19 dikesan positif, 95 negatif dan 89 masih menunggu keputusan makmal,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Selain itu, Kluster Sungai Ranan di Kanowit turut dikesan melibatkan dua buah rumah panjang. Kes indeks bernombor 19.477 dikesan melalui saringan individu bergejala di Hospital Kanowit, pengesanan kes secara aktif telah dijalankan dan saringan bersasar di rumah panjang juga dilakukan.

Seramai 191 individu telah disaring dan hasil keputusan mendapati 32 dikesan positif Covid-19, 109 negatif dan 50 masih menunggu keputusan makmal.

Selain daripada itu, kluster Nanga Tajam, Selangau merupakan kluster komuniti yang dikesan melibatkan sebuah rumah panjang di Nanga Tajam. Kluster itu dikesan apabila kes indeks 26,347 menjalani ujian saringan individu bergejala di Hospital Sibu pada 26 April lepas. Seramai 104 kontak rapat telah disaring dengan keputusan ujian mendapati 34 individu positif, dan 70 dikesan negatif Covid-19.

Kluster yang masih aktif di Sarawak ialah sebanyak 75 kluster. Sebanyak 16 kluster telah merekodkan 107 penambahan kes baru dan 57 merekodkan tiada pertambahan kes.

Sementara itu, Daerah Julau telah bertukar ke status Merah daripada status Jingga. Daerah Belaga telah kembali ke status Jingga daripada status Merah dan Daerah Kabong dan Marudi pula telah kembali ke status Kuning daripada status Jingga.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak