Hari pertama PKP Khusus di Sibu Pergerakan, aliran trafik perlahan

SIBU: Hari pertama pelaksanaan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Khusus dengan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan, di sini mendapati pergerakan di bandar ini sangat perlahan.

Tinjauan hampir sejam di pusat bandar pada jam 10.30 pagi tadi, aliran lalu lintas tidak sesibuk seperti sebelum ini walaupun Sibu sudah kali kedua diletak di bawah pelaksanaan PKP tahun ini.

Bilangan kenderaan juga berkurangan sama seperti hari pertama PKP di Sibu pada pertengahan Januari lalu berikutan sektor tidak penting tidak dibenarkan beroperasi.

Hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Khusus dengan SOP diperketatkan disambut baik dan diharap ia berkekalan sehingga 26 April ini.

Jalan Kampung Nyabor, Jalan Sentral, Jalan Wong Nai Siong, Jalan Market, Jalan Lanang, Jalan Khoo Peng Loong, dan Jalan Maju antara jalan yang paling sibuk pada di Sibu setiap hari namun pada hari ini laluannya didapati lengang.

Demikian juga dengan pusat bandar Sibu, kerana orang ramai tidak lagi ke sana ke sini kerana akur dengan arahan kerajaan.

Pada Selasa, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) telah mengisytiharkan daerah Sibu, Selangau dan Kanowit akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Khusus dengan SOP diperketatkan setelah masing-masing mencatatkan kes positif COVID-19 yang tinggi dalam laporan hariannya.

Perlaksanaan ini bermula pada tengah malam tadi hingga 26 April ini jam 11.59 malam.

Semua perkhidmatan perlu (essential services) hanya dibenarkan untuk beroperasi pada kadar 50 peratus kapasiti pekerja sahaja.

Waktu operasi dibenarkan adalah dari jam 6 pagi hingga jam 8 malam.

Bilangan individu dalam kenderaan persendirian adalah dihadkan kepada tiga orang sahaja.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak