Ikhlas mendidik azimat guru hebat

KATA-kata William Arthur Ward memberikan penerangan yang jelas tentang peranan guru.

Mengajar, menerang, menunjuk cara dan menginspirasi adalah tugas guru.

Namun bukan semua guru mampu melakukan semua itu. Namun tugas asas guru ialah mengajar, yang merupakan teras dalam proses mendidik pelajar.

Sejauh mana kita sebagai guru benar-benar mengenali bahawa kerjaya ini benar-benar pilihan utama kita?

Akhir-akhir ini ramai yang mempertikaikan tugas kita sebagai guru. Ada yang mengatakan tugas guru mudah, banyak cuti dan tidak memerlukan kerahan tenaga fizikal.

Ada juga yang mempertikaikan taraf gaji guru, berbanding tugas yang dipikul. Malah dalam kalangan guru juga ada yang mempersoalkan sikap dan kerja buat masing-masing.

Ada guru lama mengatakan guru baharu tidak kental jiwanya, ada guru muda mengatakan guru tua malas mengajar.

Banyak yang diperkatakan oleh masyarakat terhadap kita, kaum guru. Jadi wajarlah kita kembali menilai dan bermuhasabah diri. Adakah aku ini benar-benar guru yang baik?

Adakah ini pilihanku sejak dahulu?

Oleh itu guru-guru hendaklah kembali kepada niat yang mungkin ada sedikit tersasar daripada landasan asal untuk menjadi guru yang baik.

Kita cuba tetapkan hati bahawa kita akan menjadi guru yang baik, berjanji akan mengajar dengan cara terbaik, memastikan murid kita gembira dengan pengajaran kita dan melakukan dengan bersungguh-sungguh agar anak murid kita mampu menguasai tahap yang terbaik dalam pentaksiran.

Guru juga hendaklah mencari kekuatan dan kelemahan diri.

Setiap manusia ada kekuatan dan kelemahan masing-masing.

Namun sejauh mana kita menggunakan kelebihan yang ada untuk menyumbang kebaikan kepada murid dan mengatasi kelemahan kita dalam memperbaiki diri, itu terpulang pada iltizam masing-masing.

Ada guru yang mahir dalam bidang ICT menggunakan kelebihan itu untuk mengajar murid-muridnya dengan kaedah didik hibur dan antara aktif sehingga murid-murid berasa terkesima dan mudah faham dalam setiap pengajaran guru tersebut.

Ada guru yang lemah dalam bidang matematik tetapi apabila diminta mengajar subjek tersebut, beliau sanggup mencari input dan belajar daripada guru yang lain sehingga berjaya menyampaikan pengajaran matematik yang berkesan kepada murid.

Guru tersebut tidak menjadikan kekurangannya sebagai alasan untuk lepas tangan apabila disuruh melakukan sesuatu.

Sebaliknya menerima cabaran untuk membuktikan bahawa beliau mampu melakukan yang terbaik.

Guru juga hendaklah ikhlas dalam mendidik.

Meskipun menerima murid yang agak bermasalah dan lambat belajar, guru tetap mengajar dengan sabar dan ikhlas.

Berhadapan dengan kerenah murid yang mempunyai pelbagai tahap penguasaan merupakan satu cabaran yang harus ditempuhi oleh guru-guru.

Sebagai guru yang dalam hatinya tersemat keikhlasan pasti akan mencuba sedaya upaya membawa murid-muridnya keluar dari kepompong kejahilan ilmu.

Ada guru yang berasa sangat puas hati meskipun anak muridnya yang agak lembab dalam pelajaran mampu mengeja dengan baik.

Ini menjadi KPI bahawa guru tersebut sudah menyumbang bakti membantu pelajar tersebut.

Guru-guru juga hendaklah yakin bahawa “cikgu mampu jadi cikgu yang hebat”.

Guru bukan sekadar menginspirasikan tetapi mampu membawa perubahan kepada murid.

Ada guru yang mampu mendekati pelajar nakal dengan cara yang lebih toleran.

Menjadikan pelajar tersebut rakan dan sering memberikan kata-kata galakan serta tidak meminggirkan mereka menyebabkan pelajar tersebut dihargai dan melihat seolah-olah diberikan peluang untuk membuktikan bahawa dia boleh berjaya seperti murid lain yang lebih maju daripada dirinya.

Ada guru yang sering menghulurkan bantuan, sama ada kewangan dan material kepada murid yang susah dan miskin, menyebabkan murid tersebut berasakan bahawa dia patut meneruskan persekolahan dan berusaha mendapat markah yang baik dalam peperiksaan agar mendapat tempat di menara gading.

Sekurang-kurangnya pelajar ini dapat menilai bahawa ilmu pengetahuan mampu mengubah hidup miskin keluarganya.

Guru seperti ini adalah guru yang besar impaknya kepada pelajar.

Inilah guru yang hebat.

Kesimpulannya untuk menjadi guru yang hebat, dia hendaklah mengenali dirinya, mengenal pasti kelemahan dan memperbaikinya.

Kita hendaklah mencari kekuatan diri dan menggunakan kelebihan itu dalam membina insan dalam jiwa manusia yang menjadi murid kita.

Ikhlas dalam mendidik menjadi kunci kita menjadi guru yang hebat dan ini akan menginspirasikan murid kita serta guru-guru lain.

Kemuliaan sebagai guru hendaklah dijaga dengan hati yang bersih dan penguasaan ilmu yang mantap.

Selamat kembali ke gelanggang pengetahuan komrad guru.

• Cikgu Emmet atau Ahmad Faizal Osman merupakan guru kanan di SK Pulau Seduku Lingga, Sri Aman.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak