Jangan tipu ibu ayah!

MUKAH: Pahit getir hidup dan pengorbanan, terpaksa dihadapi demi kejayaan, terdidik sejak mula tabah berusaha, demikian lirik lagu nyanyian Ratu Rock Malaysia Ella yang mengiringi sesi fotografi pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) Mukah Angela Mutu 21 yang merangkul Anugerah Pelajar Terbaik 2020 SAINS Sarawak.

Angela sebak ketika sesi fotografi tersebut apabila ibu bapanya turut hadir mengiringinya meskipun majlis graduasi yang diadakan adalah secara janji temu tidak seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Saya memang tidak sangka mendapat anugerah ini. Semuanya hasil sokongan ibu bapa dan cikgu.

“Saya gembira dan bersyukur kerana ibu bapa saya banyak berkorban termasuk wang ringgit untuk menyekolahkam saya sehingga saya boleh cemerlang hingga ke peringkat ini. “Sepanjang belajar di sini, saya fokus sepenuhnya di dalam kelas dan apabila berada di rumah, saya tidak akan belajar… memang saya begitu,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Berimpian bergelar guru teknik, Angela berharap sekiranya diberi peluang dan rezeki, dia akan menyambung pengajiannya ke peringkat diploma dalam bidang yang sama iaitu Kursus Operasi Sistem Komputer.

Difahamkan, Angela bakal bekerja sebagai kerani dalam bidang sistem komputer di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di kawasan Mukah.

Ayahnya Mutu Bangsa, 56, yang merupakan tuai rumah dan ibunya Uni Genuh, 43, gembira atas kejayaan anaknya itu.

“Saya dan ibunya memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Angela untuk membuat keputusan tentang masa depannya.

“Jika dia ada niat untuk menyambung belajar, ia terpulang kepada dia sendiri… itu kemahuan dia serta pilihan terbaik dia,” jelasnya.

Mutu berkata, ketika membuat keputusan belajar di PPKS Mukah, Angela sudah diyakini bahawa menyambung pengajian di pusat kemahiran itu adalah keputusan yang tepat.

Beliau memberitahu, setiap kali anaknya itu kembali ke PPKS, hanya nasihat yang menjadi bekalan kemenjadian anaknya.

“Setiap kali dia kembali ke PPKS, saya akan menasihati Angela agar belajar bersungguh-sungguh.

“Jangan tipu ibu ayah sebab belajar menggunakan banyak duit dan memerlukan banyak pengorbanan.

“Sama dengan nasihat daripada cikgu saya dulu. “Ketika belajar komputer… kalau kita bodoh, komputer pasti lagi bodoh. Kalau kita pandai, komputer itu kena lagi pandai daripada kita. Ini pesanan saya kepada Angela.

“Tidak banyak yang saya ajar Angela. Saya hanya memberikan nasihat yang baik-baik yang perlu dia fahami,” tambahnya lagi.

Itulah antara kisah kejayaan salah seorang pelajar luar bandar yang perlu dikongsi sebagai pedoman untuk ramai generasi muda agar terus fokus, komited dan sentiasa bersyukur dalam menuntut ilmu walaupun pelbagai cabaran dihadapi khasnya ketika pandemik Covid-19 kini.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak