Juadah rentas negeri

SEBUT sahaja nama kuih akok, mungkin masih ramai rakyat Sarawak yang belum pernah mendengar atau merasa salah satu juadah tradisi yang terkenal di negeri Kelantan.

Kuih tradisional yang popular dalam kalangan penduduk Pantai Timur ini sesuai untuk hidangan minum petang atau menjadi pelengkap juadah berbuka puasa. Kebiasaannya, kuih ini akan mendapat permintaan luar biasa pada Ramadan di kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia.

Namun bagi masyarakat tempatan yang meminati kuih akok, pasti kenal dengan nama Akok Sohor Resipi Warisan Ore Kelantan yang dijual di Lorong Haji Limbong Kampung Nombor 3 Jalan Datuk Ajibah Abol, di sini.

Kuih tradisional dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu dijual pada harga RM5 untuk lima biji oleh warga tempatan, Nur Hasyah Mohamad Hassan sejak 2017.

Menurut Nur Hasyah, keistimewaan kuihnya ialah menggunakan resipi warisan daripada ibu mentuanya, tetapi diolah sedikit mengikut cita rasa tempatan.

“Ini kerana orang Sarawak tidak suka makanan yang terlalu manis, jadi saya kurangkan kemanisan daripada resipi asli. “Keistimewaan terutama dari segi rasa yang kurang manis, berlemak, lembut dan harga berpatutan, menjadikannya kegemaran masyarakat tempatan.

“Dan sentiasa mendapat permintaan yang tinggi terutama pada Ramadan,” katanya ditemui Suara Sarawak ketika menjual kuih itu di hadapan rumahnya.

Ujarnya, beliau mula menjual kuih akok kerana hendak memperkenalkan juadah itu kepada penduduk Sarawak dan tidak menyangka mendapat permintaan yang menggalakkan sehingga terpaksa mengehadkan jumlah tempahan.

“Antara bahan utamanya adalah telur, santan dan gula Melaka. Dalam sehari saya dapat menghasilkan sekitar 1,500 keping, namun ia masih tidak mencukupi

“Untuk menghasilkan lebih banyak kuih saya memerlukan tambahan mesin acuan yang hanya dapat ditempah dari Kelantan, tetapi kos untuk membawanya ke Sarawak terlampau tinggi.

“Insya-Allah jika mempunyai lebih bajet, saya akan menambah mesin kuih ini,” jelasnya yang bercadang untuk menjual kuih akok setiap petang selepas Hari Raya nanti.

Sementara rata-rata pelanggan ditemui berkata, rasa akok yang dijual Nur Hasyah sama seperti yang terdapat di Semenanjung cuma rasanya yang kurang manis sekali gus dan sesuai dengan cita rasa tempatan.

Bagi warga Bumi Kenyalang yang tidak pernah berkesempatan menikmati kuih Akok, boleh menempah melalui WhatsApp 016-8585314 atau 014-6832444 selain melawat Facebook Akok Sohor. Anda pasti menyukai keunikan rasanya!


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak