Kaji semula strategi tangani Covid-19 dan pemberian vaksin – Robert Lau

SIBU: Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau Hui Yew menyarankan agar pihak perubatan dan hospital swasta terlibat dalam pemberian vaksin pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menurut beliau, program vaksinasi yang dilaksanakan ketika ini terlalu lambat kerana bergantung dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

“Program ini mesti dipercepatkan berkali ganda. Kerajaan seharusnya melibatkan pihak swasta dalam usaha ini,” katanya bercakap di sini, hari ini.

Lau yang juga Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan berkata, semua pihak mesti memainkan peranannya secara individu dan secara kolektif.

“Impak virus ini terhadap kita bergantung kepada cara kita bertindak. Sebenarnya, ini adalah sama bagi semua perkara. Pencapaian sesuatu masyarakat bergantung kepada bagaimana kita bertindak secara kolektif dari segi ekonomi, sosial, alam sekitar dan sekarang kesihatan kita,” tegasnya.

Menurut beliau, sekarang sudah diterima umum bahawa pandemik Covid-19 ini akan berada dikalangan manusia untuk tempoh yang lama.

Vaksin ujar beliau, hanya dapat melambatkan penularan dan meringankan kesan penyakit bagi mereka yang menunjukkan simptom.

Negara yang berjaya memerangi virus ini dalam masyarakat mereka, katanya, tidak sanggup menutup sempadan mereka selama-lamanya.

Rentetan itu, beliau berpendapat, wajar bagi kerajaan untuk bertindak dengan cepat memandangkan kini Sarawak penyumbang terbesar kepada kes harian Covid-19 di Malaysia.

Lau menjelaskan sudah lebih setahun sejak pandemik melanda Sarawak dan berdepan peningkatan kes sejak Januari lalu, segala usaha mengekang wabak ini semakin hilang.

“Kita harus menumpukan usaha kita bagi mengurangkan kes supaya sistem kesihatan kita boleh berjalan dengan berkesan.

“Strategi yang telah dirangka pada peringkat awal haruslah dikaji semula,” katanya.

Lau memberitahu situasi ketika ini adalah virus pandemik sekarang berada di dalam komuniti, samada komuniti bandar atau luar bandar.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak