Ketua Masyarakat diminta lapor semua aktiviti sosial di kawasan masing-masing

KUCHING: Semua Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) harus memantau dan melaporkan segala aktiviti majlis sosial seperti majlis perkahwinan, kematian dan sebagainya kepada Pejabat Daerah masing-masing.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Pejabat Daerah akan sedia membantu KMKK bagi menasihati dan mendapatkan bantuan dari agensi-agensi yang berkenaan untuk memastikan SOP yang sedia ada dipatuhi.

“Setelah menilai kes yang tinggi dilaporkan melibatkan majlis sosial, maka Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) telah membuat keputusan tersebut yang dikuatkuasakan serta-merta.

“Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum memainkan peranan yang penting dalam menjaga keselamatan masyarakat setempat dari penyebaran Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian kemas kini pandemik Covid-19 di sini hari ini.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak