KPDNHEP serius pantau kenaikan harga dan kecukupan bekalan keperluan asas rakyat

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memandang serius terhadap isu kenaikan harga barang yang boleh memberi kesan kepada rakyat negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan hari ini berkata, susulan beberapa kes kenaikan harga ayam baru-baru ini, kementeriannya telah menjalankan Ops Catut 8.0 (ayam) yang bermula pada 15 April lalu.

Katanya, sehingga 16 April, sejumlah 24 notis telah dikeluarkan kepada pemborong manakala 16 notis dikeluarkan kepada penternak yang disyaki mencatut.

Menurutnya, hasil analisis awal juga mendapati bahawa harga makanan ternakan yang terdiri dari soya dan jagung yang kebanyakannya diimport dari negara Argentina dan Brazil telah mencatatkan kenaikan.

Jelas Alexander, ini telah menjejaskan harga ayam dalam rantaian bekalan dan peringkat ladang ke pemborong, peruncit dan pengguna.

“KPDNHEP telah menerima 15 aduan berkaitan harga ayam, daging (1) ikan (15) dan sayur (2) di seluruh negara sejak awal bulan puasa.

“Manakala tiada aduan diterima berkaitan kekurangan bekalan ke atas kesemua barangan tersebut,” katanya.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (dua kanan) membuat pemeriksaan terhadap barangan di sebuah pasar basah.
 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak