LIGA PREMIER 2021: Kuching City FC buru import asing baharu

SKUAD Kuching City FC (KCFC) bakal mengambil pemain import asing baharu sebaik jendela perpindahan pemain dibuka pada 3 hingga 30 Mei depan.

Menurut jurulatih KCFC, Irfan Bakti, terdapat pemain import asing yang gagal memberikan impak.

“Pemain tersebut (import asing) langsung tidak menunjukkan peningkatan.

“Oleh itu kita memerlukan import baharu untuk memberi kekuatan kepada pasukan,” jelas Irfan.

Tiga import asing KCFC ialah Hudson Dias (penyerang), Bryan Jones (penyerang) dan Aylton Ferreira (pertahanan).

Hudson dan Jones belum lagi menjaringkan sebarang gol setelah melalui tujuh perlawanan.

KCFC kini kekal di tangga kedua tercorot setelah seri 1-1 dengan Selangor 2 dalam aksi di Stadium Cheras malam kelmarin.

KCFC bermula dengan baik apabila mendahului menerusi Alif Hassan pada minit ke-24.

Namun malang buat mereka apabila ketua pasukan, Joseph Kallang Tie terjaring ke gawang sendiri pada minit ke-53, menjadikan kedudukan terikat 1-1.

Menurut Irfan, anak-anak buahnya gagal menyempurnakan beberapa peluang yang terhidang, situasi yang sama seperti dalam beberapa aksi sebelum ini.

“Kami sebenarnya boleh menjaringkan dua atau tiga gol pada babak pertama, namun penyerang kita (Hudson Dias) gagal.

“Malah beliau juga gagal ketika berhadapan satu lawan satu dengan penjaga gol Selangor,” tegas Irfan.

Bagaimanapun, beliau berpuas hati dengan komitmen pemain tempatan yang menunjukkan kesungguhan sepanjang saingan.

KCFC akan menentang Kelantan United di Stadium Sultan Mohamad ke-IV Sabtu ini.

 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak