Memudahkan pemasaran produk eko-pelancongan

KUCHING: Pembinaan pangkalan pontun berdekatan Jambatan Sungai Pelaie akan menjadi tarikan pelawat mahupun pelancong datang ke Kampung Salak.

Menurut Menteri Muda Bekalan Air, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Kampung Salak mempunyai produk eko-pelancongan tersendiri.

Beliau berkata, Kampung Salak dikelilingi oleh Taman Negara Tanah Lembap Kuching yang mempunyai pelbagai flora dan fauna.

Tambah Abdul Rahman, monyet Belanda, ikan lumba-lumba dan pelbagai spesis hidupan terdapat di taman negara tersebut yang merupakan tarikan kepada kampung tersebut.

“Banyak perkara yang kita boleh lihat di Kampung Salak. Kita galakkan penduduk di sini sekiranya terdapat ruang di rumah mereka untuk diubah suai menjadi rumah inap desa.

“Pelawat juga boleh datang dan melihat keindahan alam semula jadi yang terdapat di kampung tersebut,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke sini semalam.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak