Menu tradisi Melanau jadi sajian

KUCHING: Tampil dengan pelbagai menu masakan Melanau, Selihah Tarbi, 52 menjelaskan langkah tersebut merupakan caranya mempamerkan kelainan dalam perniagaan makanan yang diusahakan.

Pemilik restoran Selihah Cafe & Catering ini berkata, antara menu hidangan yang ditawarkan termasuk linut atau ambuyat, tumpik (kelapa+sagu lemantak), umai, tebaloi, selisih dan beberapa yang lain.

“Saya telah lama berkecimpung dalam dunia perniagaan makanan sejak 2006.

“Setelah tiga tahun berniaga makanan di Telekom Miri sebelum ini, saya kemudian membuka restoran yang kini beroperasi di Saberkas pada 2009,” katanya kepada Suara Sarawak.

Menurut Selihah, sokongan dan galakkan dari keluarganya merupakan pendorong utama beliau untuk terus bersemangat meneruskan perniagaan tersebut.

“Saya bersyukur kerana khidmat restoran ini kini menjejaki usia 12 tahun operasinya meskipun berdepan pelbagai cabaran dan dugaan.

“Sambutan pelanggan terhadap menu ini juga memberangsangkan,” katanya.

Selihah turut mendedahkan bahawa dia juga sering dibantu oleh anaknya Nur Widyamirza Hassan, 20 dalam mengendalikan perniagaan tersebut.

“Setakat ini, kami memang tidak mengambil pekerja untuk menguruskan semua kerja di restoran, malah rasa selesa untuk menyediakannya sendiri kepada pelanggan.

“Sebelum ini, kami beroperasi dari 6.30 pagi hingga 3 petang di restoran terutamanya pada hari-hari biasa.

“Namun, setelah bermulanya Ramadan ini, kami hanya menjalankan perniagaan dari rumah menggunakan perkhidmatan penghantar ke rumah pelanggan,” katanya.

Mengulas tentang nasib perniagaan sepanjang pandemik melanda, Selihah menjelaskan operasi tetap berjalan seperti biasa dengan berpandukan garis panduan yang ditetapkan.

“Sepanjang pandemik melanda, jumlah pelanggan yang berkunjung ke restoran agak berkurang berbanding sebelum ini.

“Keadaan ini mungkin disebabkan kes yang semakin meningkat sehingga menyebabkan ramai masyarakat takut keluar dari rumah kerana berasa tidak selamat,” katanya lagi.

Dia turut mendedahkan pihaknya juga menyediakan beberapa menu istimewa sepanjang Ramadan iaitu ketupat, tumpik, kelupis dan pulut panggang.

“Menu-menu ini hanya ditawarkan menjelang bulan puasa sahaja,
sebagai kelainan pada Ramadan.

“Tindakan ini untuk memberi peluang kepada pelanggan merasai suasana Hari Raya ketika menikmati juadah berbuka bersama keluarga,” katanya.

Mengulas lanjut, Selihah turut menjelaskan harga makanan yang dijual turut bersesuaian dengan kuantiti makanan yang disediakan.

“Bagi pelanggan yang menempah atas talian, kami biasanya menghantar pesanan mereka mulai dari 3.30 hingga 6 petang.

“Kami memang menerima tempahan dari pelanggan di seluruh kawasan Miri dengan mengenakan caj hantaran mengikut lokasi masing-masing,” katanya lagi.

Berkaitan perancangan masa depan perniagaan, Selihah berkata, dia berhasrat menambahkan lagi cawangan restoran tersebut di Miri dan di depan rumahnya.

Untuk makluman, pelanggan digalakkan melayari laman Facebook Mirza Hassan, untuk melihat pelbagai pilihan yang ditawarkan

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak