PDRM sahkah khidmat isi borang ‘EnterSarawak’ ditawarkan melalui facebook satu penipuan

KUCHING: Perkhidmatan mengisi borang ‘Enter Sarawak’ yang ditawarkan di Facebook adalah satu kegiatan penipuan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata pihaknya sedang menyiasat kegiatan tersebut di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan iaitu cubaan menipu.

“Pesalah boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta sebat dan denda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis telah menerima satu laporan pada 12 April lalu mengenai ‘posting’ di Facebook oleh seorang suspek yang menawarkan perkhidmatan mengisi borang ‘Enter Sarawak’ bagi sesiapa yang ingin masuk ke Sarawak dengan bayaran RM130 seorang.

Aidi berkata suspek yang merupakan seorang wanita mendakwa dirinya bekerja dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan boleh meluluskan permohonan tersebut.

Bagaimanapun, katanya semakan dengan JPBN Sarawak mendapati mereka tidak pernah melantik atau memberi kebenaran kepada mana-mana individu luar untuk menjalankan urusan sedemikian.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai untuk membuat permohonan ‘Enter Sarawak’ melalui saluran yang betul.

Aidi berkata sebarang kemusykilan boleh menghubungi Bilik Operasi JPBN Sarawak di talian 082-443991 untuk mendapatkan sebarang maklumat berkaitan tatacara kemasukan ke Sarawak.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak