Penggera waktu Ramadan

BINTANGOR: Beduk tua yang masih disimpan di tempat asalnya di pekarangan Masjid Darul Ibadah Kampung Tanjung Bundung di sini, tidak lagi digunakan kerana sudah uzur.

Beduk yang terhasil daripada sepotong kayu meranti sepanjang lebih satu meter itu dipercayai direka pada 1937. Ia pernah digunakan di surau lama kampung itu yang kemudiannya dipindahkan ke Masjid Darul Ibadah Tanjung Bundung sebelum mengalami kerosakan dan tidak lagi digunakan sejak sembilan tahun lalu.

Ketua Kampung, Tanjung Bundung Dollah Narudin berkata, mereka tidak berhasrat untuk membuang barangan tradisional itu kerana mempunyai nostalgia tersendiri selain pernah menjadi saksi bisu pelbagai kisah suka duka penduduk.

Malah katanya, mereka bercadang memperbaiki beduk berkenaan dan berharap ada yang tampil membantu merealisasikan hasrat itu.

Ujarnya, setiap kali terpandang alat itu – akan mengingatkannya kembali pada kisah silam terutama zaman kanak-kanaknya. “Saya tersenyum sendiri apabila terkenangkan bunyi paluan alat ini.

Zaman kanakkanak kami berbeza dengan sekarang. Dulu, cahaya lampu minyak tanah menjadi pengganti lampu elektrik.

“Ketika itu, tidak ada telefon bimbit dan beduklah menjadi penggera waktu kami untuk bersahur dan berbuka puasa,” katanya kepada Suara Sarawak.

Dollah menceritakan, walaupun zaman kanakkanaknya tidak menikmati kemudahan secanggih hari ini namun suasana berpuasa sepanjang Ramadan ketika itu sungguh meriah.

Sebelum bersahur dan berbuka katanya, dia dan keluarganya berkumpul beramai-ramai sementara menunggu beduk dibunyikan.

“Masing-masing menatap makanan sambil memandang muka sesama sendiri. Dalam hati terdetik rasa tidak sabar, alahai bilalah beduk akan dipalu?

“Sebaik sahaja beduk dipalu, kami berbuka dan menjamu selera beramai-ramai. “Sebaik selesai berbuka, saya dan rakan-rakan ke surau untuk menunaikan solat. Sayangnya, semua itu hanya tinggal kenangan, ” katanya.

Pada masa sama, penduduk, Abdullah Rani meluahkan rasa bangga kerana beliau pernah menjadi sebahagian daripada nostalgia yang bermakna itu.

Menurutnya, pembangunan dan perkembangan teknologi menyebabkan gaya hidup masyarakat berubah. “Dulu, saya dan rakanrakan pernah berebut-rebut memalu beduk sebaik tiba waktu solat.

“Malah, kami juga pernah dimarahi gara-gara memalu beduk bukan pada waktunya. “Hari ini suasananya jauh berbeza dan tanpa sedar, amalan itu juga semakin lenyap ditelan zaman,” ujarnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak