Penutupan semua Institusi Pendidikan di bawah KPM dilanjutkan hingga 10 Mei 2021

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memutuskan melanjutkan penutupan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) susulan daripada pengumuman sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) oleh Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin hari ini.

JPBN dalam satu kenyataan berkata, ia dicapai selepas mengadakan mesyuarat dan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.

“Maka, persetujuan telah dicapai untuk melanjutkan tempoh penutupan Institusi Pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan semua kategori Institusi Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar dengan KPM termasuk Sekolah Antarabangsa (melibatkan sekolah/ institusi pendidikan seperti yang diumumkan melalui Kenyataan Media JPBN Bil 109/2021 bertarikh 19 April 2021, mulai 4 Mei 2021 sehingga 10 Mei 2021.

“Dalam tempoh tersebut kaedah PdPR masih diteruskan seperti yang dilaksanakan sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun tambah JPBN, Pelajar Tingkatan 6 yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Semester 3 (Gantian) dibenarkan hadir ke sekolah sehingga 27 Mei 2021.

“Turut diputuskan ialah Perintah Kawalan Pergerakan di kawasan pembinaan Hidroelektrik Baleh, Putai, Kapit (26 April hingga 23 Mei 2021)

“Malah, Pelanjutan Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Rh. Japam, Sg Lemayong, Bintangor, Sarikei (27 April hingga 10 Mei 2021) dan PKPD Rh. Johnson, Sg Rian, Jalan Pakan, Bintangor, Sarikei (27 April hingga 10 Mei 2021)

“PKPD Rh. Junis, Sg Kelupu, Bintangor, Sarikei juga dilanjutkan dari 27 April hingga 10 Mei 2021 serta Rh. Bajak, Nanga Semawang, Julau (28 April hingga 04 Mei 2021),” ujarnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak