Permulaan Vaksinasi Fasa Kedua di Sibu dapat sambutan menggalakkan

SIBU: Penerima vaksin pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa II di sini masing-masing melahirkan kesyukuran di atas inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan yang mendahulukan golongan warga emas yang berisiko.

Tamby Sulaiman, 84, yang ditemani anaknya ke Pusat Pemberian Vaksin di Stadium Tertutup Sibu hari ini (Isnin) tidak bimbang dan takut untuk divaksin.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana tersenarai untuk fasa kedua ini.

“Sekurang-kurangnya, lega sedikit kerana ianya dapat mengurangkan risiko kami dari dijangkiti.

“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan kerana mengutamakan golongan kami yang sudah berusia dan berisiko ini,” ujarnya semasa ditemui di pusat tersebut, hari ini.

DOUGLAS ketika diberi vaksin.

Tamby berasa gembira dan menganggap pemberian vaksin ini umpama sebagai hadiah hari jadinya.
Ketika ditanya adakah rasa sakit disuntik, beliau memberitahu macam suntikan biasa dan tidak sakit.

Bagi Douglas Jerukan, 80-an pemberian vaksin ini adalah sebagai usaha murni kerajaan yang mendahulukan warga emas untuk mendapatkannya. Beliau memberitahu tidak berasa takut untuk hadir menerima vaksin berkenaan.

Jelas beliau, sebelum pengambilan vaksin itu, pada malam sebelumnya dia dapat tidur dengan baik.

“Apapun, saya tetap berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian vaksin ini. Vaksin ini adalah sesuatu yang amat berharga ketika ini.

“Tiada penawar lain untuk melawan pandemik COVID-19 ini,” jelas beliau lagi sambil menjelaskan ketika disuntik ia berasa tidak sakit.

CHIAN sambil ditemani Clarence Ting (kanan) dan Robert Lau kelihatan begitu teruja selepas mendapatkan vaksin.

Chian Lilian, 87, ibu kepada Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh ketika ditemui berkata, dia sangat teruja untuk datang ke pusat pemberian vaksin tersebut sejak awal lagi setelah dimaklumkan.

Beliau yang datang ke pusat itu ditemani oleh Clarence Ting turut menjelaskan bahawa dirinya sangat bersyukur setelah menerima vaksin pada dos pertama ini.

Ujarnya, dia juga berasa seolah-olah tidak sabar lagi untuk mendapatkan dos kedua dalam masa 21 hari lagi. “Besar ertinya vaksin ini bagi saya dan menganggapnya sebagai hadiah istimewa yang paling berharga dalam hidup ini.

“Diharap saya bertambah sihatlah dan minta-minta dijauhi dari wabak ini,” katanya sambil merakamkan penghargaannya kepada kerajaan atas vaksin percuma ini. Chian turut memberitahu semasa menerima vaksin itu ia tidak sakit.

Sibu telah dipilih untuk lokasi pertama di negeri ini untuk melaksanakan program tersebut bermula hari ini. Seramai 924 warga emas di Bahagian Sibu diberikan vaksin Pfizer-BioNTech pada program yang diadakan selama sehari itu.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing dalam laporannya sebelum ini berkata, seramai 929,435 orang disasarkan untuk menerima vaksin bagi fasa dua ini.

Beliau berkata, perlaksanaan program fasa kedua akan bermula pada 19 April ini di seluruh negara.

Bagi negeri Sarawak, katanya, fasa ini akan dimulakan di Bahagian Sibu pada 19 April (hari ini) dan diikuti seterusnya oleh bahagian Kuching, Serian, Sri Aman, Betong, Kapit, Mukah dan Miri pada 23 April ini.

“Manakala Bahagian Samarahan, Bintulu dan Limbang pada 24 April ini dan Bahagian Sarikei pada 30 April nanti,” ujarnya.

Program di Sibu ini dirasmikan oleh Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr Annuar Rapaee sambil turut dihadiri oleh Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau Hui Yew, Pemangku Residen Bahagian Sibu Wong Hee Sieng dan Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Teh Jo Hun.

SUASANA di Pusat Pemberian Vaksin tersebut yang berjalan lancar.

TAMBY dibantu anaknya ke Pusat Pemberian Vaksin.
 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak