PKPB tetap diteruskan sehingga 26 April seperti diumumkan sebelum ini

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) akan terus melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 13 April hingga 26 April 2021 di seluruh negeri ini seperti yang telah diumumkan beberapa hari yang lepas.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, setelah mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah dipersetujui bahawa daerah Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan Meradong kekal di bawah PKPB.

“Pada masa yang sama, JPBNS juga akan meneruskan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan yang berisiko tinggi atau kawasan panas.

“Berdasarkan pengalaman Sarawak, pelaksanaan PKPB dengan SOP yang jelas dan penguatkuasaan yang ketat adalah lebih berkesan dalam mengurangkan dan menghentikan penularan pandemik ini,” katanya dalam sidang media perkembangan harian Covid-19 di Sarawak, hari ini.

Tambah Uggah, salah satu kebimbangan utama JPBN dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah kemampuan dan keberkesanan penguatkuasaan di kawasan yang lebih luas.

Malah katanya, perkara tersebut dilihat berdasarkan pengalaman PKP di Sibu baru-baru ini yang telah dikuatkuasakan dari 15 Februari hingga 1 Mac 2021.

“PKPD lebih mudah untuk diuruskan dan dikuatkuasakan terutama sekali di kawasan terkurung atau tertumpu, pada masa yang sama apabila kawasan kampung dan rumah panjang terjejas, tempat-tempat ini diletakkan di bawah “lockdown” dengan kadar segera.

“Ini telah dan akan membantu pihak keselamatan dan penguatkuasaan dalam melaksanakan kawalan pergerakan dengan lebih mudah dan berkesan,” tegasnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak