Program Tautan Kasih Ramadan ceriakan asnaf

KUCHING: Suasana Ramadan ini dimanfaatkan oleh Pejabat Bank Negara Malaysia, Kuching bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk terus beramal dengan menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan di sini, semalam.

Menerusi Program Tautan Kasih Ramadan, mereka telah melawat dan memberikan sumbangan keperluan dapur dan pakaian baharu untuk menyambut Hari Raya yang bakal menjelang kepada keluarga berpendapatan rendah, asnaf, rumah-rumah anak yatim dan pusat tahfiz.

Program dianjurkan oleh Kelab Sukan dan Kebajikan BNM Kuching, BNM Volunteers dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Sarawak dengan kerjasama E-Mart Supermarket, The Society for Kuching Urban Poor (SKUP), PERYATIM Sarawak, Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Nur Murni serta Madrasah Tahfiz Al-Faaizun.

Sumbangan kepada pusat Tahfiz

Menurut Ketua Pejabat Bank Negara Malaysia (BNM), Kuching selaku penyelaras program Mohd Irman Mohd Din, program berkenaan adalah sebagai tanda prihatin kepada masyarakat khususnya golongan yang memerlukan.

“Program ini bertujuan meringankan beban komuniti yang terkesan akibat Covid-19 sekali gus ingin membantu keluarga yang kurang bernasib baik dan anak-anak yatim meraikan Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

Beliau menambah lebih kurang 300 keluarga dan isi rumah daripada empat buah kampung telah dibantu pada program tersebut.

Justeru, Mohd Irman berharap program ini dapat diteruskan lagi pada tahun akan datang serta mendapat lebih banyak penyertaan daripada komuniti perniagaan, syarikat swasta, NGO serta individu.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak