Semua pelajar asrama dan kampus universiti dibenarkan balik

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memutuskan untuk membenarkan semua pelajar yang tinggal di sekolah berasrama dan kampus universiti di seluruh negeri ini untuk balik ke rumah masing-masing.

Dalam kenyataan hari ini, JPBNS berkata keputusan itu di buat selepas tempoh penutupan semua institusi pendidikan di Sarawak dilanjutkan.

“Maka JPBNS membenarkan untuk para pelajar yang tinggal di asrama balik ke rumah masing-masing tanpa perlu melakukan ujian rt-PCR,” katanya.

Terdahulu pada 20 April lalu, Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata semua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) serta pelajar sekolah berasrama tidak dibenarkan balik ke rumah walaupun dalam tempoh 14 hari penutupan institusi pendidikan di zon merah di negeri ini.

Dalam perkembangan berkaitan, JPBNS memaklumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di PULAPOL Kuching dan Sg Passin, Matu semalam memandangkan keputusan saringan kedua tidak mendapati sebarang kes positif baharu selain tiada bukti menunjukkan jangkitan masih menular di kawasan tersebut.

“Bagaimanapun, sebanyak enam kawasan telah diarahkan menjalani PKPD iaitu Rh. Awit, Nanga Mujok, Julau (28 April hingga 11 Mei), Rh. Papit, Sg Kuap, Nyelong, Sarikei (28 April hingga 11 Mei) dan Rh. Adrew, Ulu Pendanum, Pakan (28 April hingga 12 Mei).

“Turut diarahkan PKPD adalah SMK Melugu, Sri Aman (29 April hingga 12 Mei), Rh. Janting, Lemujan, Pakan (29 April hingga 12 Mei) dan Rh. Uming, Sg Mador, Bintangor, Sarikei (29 April hingga 12 Mei).

“Manakala PKPD di Rh. Naning, Sg Baji, Sarikei dilanjutkan dari 30 April hingga 6 Mei,” jelas JPBNS.

JPBNS turut mendedahkan sebanyak 25 kompaun telah di keluarkan melibatkan Kluster ICOM Kuching dan masih terdapat kompaun yang belum diserahkan kepada mereka yang terlibat dalam perhimpunan SWAG tersebut kerana siasatan masih dijalankan.

“PDRM juga telah mengeluarkan sebanyak 12 kompaun di daerah Kuching (4), Bintulu (4), Padawan (3) dan Miri (1) kerana kesalahan melanggar SOP, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,043 kompaun dikeluarkan setakat ini.” kata JPBNS.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak