S’wak akan terima 13 unit mesin ventilator baharu dari KKM

KUCHING: Sarawak akan menerima 13 unit mesin ventilator baharu daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Jumaat ini, kata Pengarah Kesihatan Sarawak Dr. Chin Zin Hing.

Katanya mesin-mesin tersebut akan diagihkan kepada hospital-hospital yang memerlukan termasuk di Sibu dan Sarikei.

“Buat masa ini, kita akan menerima 13 unit mesin ventilator baharu dan semuanya akan dihantar pada Jumaat ini,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas apabila lapan daripada 10 unit ventilator yang diberikan KKM kepada Sarawak pada 13 April lalu dilaporkan tidak berfungsi dengan baik.

Lima daripada ventilator itu diberikan kepada Hospital Sibu, tiga kepada Hospital Bintulu dan dua kepada Hospital Sarikei.

Sehubungan itu, Dr. Chin yang tidak menafikan perkara itu, menjelaskan pihaknya sudah mengemukakan laporan mengenainya kepada KKM.

Dalam pada itu, katanya Jabatan Kesihatan Sarawak akan terus mencuba mendapatkan lebih banyak mesin ventilator untuk dibekalkan kepada hospital-hospital di seluruh negeri ini.

“Akan sentiasa ada pesakit yang memerlukan sokongan oksigen, jadi saya tidak boleh katakan yang kita mempunyai cukup mesin ventilator.

“Tetapi kami akan terus mencuba mendapatkannya kerana kita tidak tahu bila kes akan melonjak naik dan kita akan amat memerlukannya,” katanya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak