Tadika dan taska di zon merah turut ditutup selaras pengumuman KM

KUCHING: Tadika dan taska di kawasan zon merah akan ditutup sementara selama 14 hari berkuat kuasa esok.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia selaras dengan pengumuman Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg agar semua sekolah di kawasan zon merah di negeri ini ditutup selama 14 hari.

“Sekiranya terdapat taska yang mempunyai anak-anak petugas barisan hadapan, taska berkenaan perlu mengemukakan permohonan untuk beroperasi bagi memberikan perkhidmatan kepada anak-anak petugas barisan hadapan sahaja.

“Permohonan hendaklah dikemukakan ke Bahagian Pembangunan Awal Kanak-Kanak, KWKPK,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Fatimah menambah, ia merupakan perkhidmatan sokongan kepada petugas barisan hadapan yang bertugas dalam memerangi pandemik Covid-19.

“Sehubungan itu, semua tadika dan taska perlu mematuhi arahan ini dalam usaha untuk mengekang penularan pandemik Covid-19,” jelasnya.

Sebagai rekod, penutupan taska dan tadika di kawasan zon merah di Sarawak melibatkan 2,518 buah tadika dan 213 taska.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak