Tiada moreh Ramadan ini

KUCHING: Tidak seperti kelaziman setiap kali Ramadan, tahun ini moreh bagi jamuan berbuka puasa atau sahur dilarang untuk diadakan di surau atau masjid.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia merupakan tambahan kepada prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Islam Sarawak (MIS) dalam usaha memerangi Covid-19. “Sebarang moreh tidak dibenarkan di masjid atau surau.

“Kalau jawatankuasa pengurusan masjid atau surau hendak menyediakan makanan sekalipun, mereka dibenarkan memberi makanan bungkus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai operasi masjid dan surau sepanjang bulan Ramadan.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, solat terawih dan witir dibenarkan namun bilangan jemaah maksimum 200 orang atau setengah daripada kapasiti masjid atau surau.

“Masjid akan mula dibuka pada jam 4 pagi dan ditutup sekitar jam 10.30 malam,” ujarnya. Menurutnya lagi, tiada halangan untuk peniaga menjual makanan di kawasan kediaman pada Ramadan.

“Namun mereka tetap perlu mematuhi SOP ditetapkan seperti pendaftaran Kod Mysejahtera, memeriksa suhu dan menyediakan cecair pencuci tangan,” jelasnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak