Warganegara Malaysia di Sarawak, dipelawa mohon jawatan Pegawai Bomba Bantuan

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Sarawak mempelawa pemuda warganegara Malaysia untuk memohon jawatan sebagai Pegawai Bomba Bantuan.

Jawatan ini adalah untuk penempatan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan, BBP Serian, BBP Betong, BBP Song, BBP Daro, BBP Mukah, BBP Belaga dan BBP Lawas, dengan elaun khas RM8 sejam.

Syarat lantikan haruslah warganegara Malaysia, bukan anggota Angkatan Tentera Malaysia atau mana-mana pasukan atau skim sukarela yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis.

Selain itu pemohon hendaklah berusia tidak kurang 18 tahun pada tarikh permohonan, berkelulusan sekurang-kurangnya Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Ketua Pengarah.

Syarat-syarat lain hendaklah mempunyai ukuran fizikal dengan ketinggian sekurang-kurangnya 1.57m tanpa bersepatu, berat badan sekurang-kurangnya 48kg, mempunyai penglihatan yang baik, tidak rabun warna dan mempunyai pendengaran yang baik.

Pemohon juga mestilah menjalankan pemeriksaan kesihatan dan diperakui sihat untuk berkhidmat oleh doktor bertauliah serta lulus ujian-ujian yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah dari semasa ke semasa.

Pada masa sama, calon hendaklah tinggal atau bekerja dalam lingkungan 25km daripada balai yang dinyatakan.

Permohonan hendaklah di buat menggunakan Borang PBB3 yang boleh didapati daripada BBP yang dinyatakan atau boleh dimuat turun dari pautan:

https://www.bomba.gov.my/bomba/resources/user_15/UploadFile/Pengumuman/Pegawai%20Bomba%20Bantuan/Borang_PBB3.pdf.

Setiap Permohonan hendaklah disertakan dengan sekeping gambar ukuran pasport terkini, salinan MyKad, salinan sijil-sijil akademik dan sijil-sijil berkaitan yang telah disahkan.

Borang permohonan yang telah lengkap di isi hendaklah dihantar kepada Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak, Ibu Pejabat Jalan Setia Raja, Tabuan Jaya, 93350 Kuching atau emel ke bhgoperasi_swk@bomba.gov.my.

Tarikh tutup permohonan adalah pada 30 April 2021.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak