180 pek makanan diagih kepada mangsa banjir di Limbang dan Lawas

KUCHING: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah terus komited menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang terjejas akibat banjir, hari ini.

Menurut kenyataan, bantuan bencana banjir itu telah dihulurkan menerusi Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Limbang untuk diagihkan kepada dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Sehubungan itu, PPS masyarakat Trusan dibuka pada jam 9.30 pagi hari ini telah menerima 100 pek bantuan makanan berupa makanan kering (One off refreshment kit), 10 kotak air mineral dan10 bungkus roti pelbagai perisa.

Dalam pada itu, PPS Dewan Masyarakat Medamit yang dibuka pada jam 4.30 petang semalam telah menerima 80 pek makanan yang terdiri daripada makanan kering, lima kotak air mineral dan 10 bungkus biskut pelbagai perisa.

Dalam hal berkaitan, menurut info Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak terdapat beberapa kawasan yang telah terjejas akibat banjir di Sarawak telah dilaporkan pada 19 Mei hingga jam 4.30 petang hari ini.

Menurutnya, antara kawasan yang dilaporkan terjejas pada 19 Mei adalah Kampung Gelapas Trusan; Balai Trusan; Masjid Trusan; Dato Trusan; Long Tukon; Suang Trusan; Seberang Kedai Trusan; Masjid Baru Merapok; Lubuk Abai; Ranau Trusan; Siang-Siang; Long Keliliang Trusan dan Lapangan Terbang Lawas.

Ia juga melibatkan kawasan Batu 8 dan 9 Jalan Bintulu Miri, di Bintulu.

Sehubungan itu, antara kawasan yang dilaporkan terjejas hari ini adalah Marudi (SK Long Luteng; Kampung Lellang; Pekan Mulu; SK Penghulu Baya Mallang) Miri (Long Beruang); dan Limbang (Rh Antabang Lubok Pasu).

Sebagai rekod, setakat hari ini hanya satu PPS dibuka di Lawas iaitu PPS Dewan Masyarakat Terusan manakala satu PPS di Limbang 1 iaitu PPS Dewan Masyarakat Mendamit.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak