Contohi kepatuhan mangsa banjir di utara Sarawak baru-baru ini

KUCHING: Orang ramai khususnya masyarakat di Sarawak perlu mengambil iktibar daripada bencana banjir baru-baru ini di mana tiada kluster banjir dilaporkan biarpun ramai mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Sarawak Khirudin Drahman@Hussaini menegaskan ia susulan mangsa-mangsa banjir telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) secara serius sepanjang pengendalian bencana.

Jelasnya, kesemua PPS di bawah kawalan bomba ketika itu diarahkan agar sentiasa mementingkan SOP bagi memastikan tiada sebarang penularan wabak Covid-19 berlaku.

“Hasilnya, kesemua PPS di bawah kawalan Jabatan Bomba dan Penyelamat tiada sebarang laporan berkaitan kluster banjir.

“Hal ini terbukti apabila kita mengikuti SOP 100 peratus, maksudnya tiada halangan untuk mengekang penularan wabak ini di kawasan tertentu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan operasi sanitasi awam di pekarangan Masjid India hari ini.

Justeru, beliau menggesa agar orang ramai memberikan penekanan terhadap pematuhan SOP dengan pendekatan 3W, 3C, 3P.

Konsep 3W merangkumi kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan amaran atau peringatan (warn).

Bagi konsep 3C, bermaksud jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak bersembang dengan jarak yang dekat (close conversation) manakala konsep 3P iaitu Pengawasan, Pencegahan dan Pelindungan.

Ujarnya, masyarakat khususnya yang meraikan Hari Gawai diingatkan untuk mengamalkan konsep 3L yang merujuk kepada tidak Lupa, Lalai dan Leka menjelang musim perayaan itu nanti.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak