3,470 saman dikeluarkan sepanjang ‘Op Rentas’ Hari Raya Aidilfitri dari 10 hingga 16 Mei lalu

KUCHING: Sejumlah 3,470 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan dalam sepanjang Op Rentas sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri yang dijalankan pada 10 sehingga 16 Mei lalu di seluruh Sarawak.

Selain itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata sebanyak 476 buah kenderaan telah diarah berpatah balik ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) kerana tidak mempunyai surat kebenaran untuk merentas negeri dan merentas zon.

Beliau menambah sebanyak 28 buah motosikal turut disita kerana melakukan pengubahsuaian seperti ekzos dan lain-lain kesalahan.

“Dalam operasi ini, seramai 8,470 orang dan 6,956 buah kenderaan telah diperiksa di semua lokasi SJR dan lokasi rondaan yang dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Alexson, sepanjang operasi ini, sebanyak 50 lokasi telah diberi tumpuan dengan 34 daripadanya adalah lokasi SJR dan 16 lokasi lain adalah lokasi rondaan.

“Rondaan dan SJR yang diadakan ini adalah untuk membuat pemeriksaan di jalan-jalan raya utama di seluruh Sarawak, bagi memastikan tiada individu yang merentas negeri dan merentas zon tanpa permit polis atau tanpa sebab yang dibenarkan iaitu berdasarkan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak,” katanya.

Beliau berkata secara keseluruhan, Op Rentas ini berjalan dengan lancar, dengan penglibatan seramai 362 orang pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Sarawak dan telah berjaya dalam menentukan keselamatan pengguna jalan raya serta memastikan SOP Covid-19 dipatuhi.

Pada masa sama, beliau berkata operasi ini juga berjaya mendidik pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya.

Suara Sarawak