380 paha ayam sehari

MUKAH: Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Begitulah perumpamaan sesuai dan tepat menggambarkan keupayaan seorang ibu yang gigih menguruskan sebuah kedai makan yang cukup dikenali iaitu Kafe Sri Diana.

Wanita ini bermula enam tahun lalu dengan secara kecil-kecilan dan bermain-main mencipta masakan nasi ayam penyet sendiri apabila mendapati menu tersebut tiada dijual di kedai makan lain.

Sehingga hari ini dia tidak sangka menu utamanya itu terus mendapat permintaan daripada pelanggan.

Pemiliknya Rabuyah Abdullah, 48, yang juga cukup mesra dengan panggilan Mak Ayu oleh masyarakat tempatan mengakui dalam sehari sahaja dia berjaya menerima lebih 400 tempahan dari seluruh Mukah apatah lagi sejak perkhidmatan penghantaran makanan FoodPanda mula diperkenalkan di daerah ini.

“Daripada segi sambutan syukur Alhamdulilah, nasi ayam penyet Sri Diana mendapat sambutan yang amat menggalakkan tambahan kewujudan FoodPanda.

“Kita juga menyediakan perkhidmatan penghantaran pesanan dan bayar ke rumah.

“Saya dibantu anak perempuan saya, dia menggunakan motosikal skuter menghantar tempahan ke setiap rumah pelanggan.

“Untuk sehari, saya memperoleh pendapatan secara kasar RM3,000 hingga RM4,000.

“Bolehlah untuk menampung sewa kedai ini, tujuh pekerja termasuk wang pusingan, membeli semua bahan mentah dan sebagainya,” kongsinya kepada Suara Sarawak.

Ibu kepada empat anak ini turut mengakui bahawa sepanjang pandemik Covid-19 dan sejak pergerakan terhad dikuatkuasakan, perniagaannya itu turut mengalami pasang surutnya namun, Mak Ayu tetap bersyukur nasi ayam penyetnya tetap laris.

“Yang disukai pelanggan ialah sambal. Saya sediakan dua sambal iaitu satu untuk ayam dan satu lagi untuk ulam.

“Biasanya saya menggunakan 60 kilogram paha ayam sehari.

Biasanya akan habis terjual.

“Malah dengan adanya tapau untuk tempoh ini, sehari saya dapat menyediakan 300 hinggga 400 tempahan termasuk pelanggan yang datang sendiri ke kedai,” jelasnya lagi.

Mak Ayu juga menerima tempahan khas dari Bintulu dan dia mengirimnya menggunakan bas.

Menurutnya, ada pelanggan sanggup menempah 20 bungkus nasi ayam penyet daripada air tangannya itu.

Kafe Sri Diananya sebelum ini milik ibu mertuanya yang dibuka sejak 1984 di tebingan Sungai Mukah, sebelum dia meneruskan legasi kedai tersebut dengan bantuan tujuh pekerjanya.

“Biasa kita buka dari jam 7 pagi hingga 5 petang.

Kalau sekarang sebab tapau sahaja, memang tutup pada jam 4 petang, atas arahan pihak berkuasa,” jelas anak jati Kampung Tellian ini.

Mak Ayu berharap agar perusahaan nasi ayam penyetnya itu terus maju dan mendapat perminataan ramai dari merata tempat.

“Bagi Mak Ayu kalau mahu maju terus maju dan berjaya, kita tidak boleh dengar kata-kata negatif.

“Tetapi biasalah dalam dunia perniagaan, pasti ada orang yang tidak suka dan tidak puas hati, kita abaikan sahaja.

Kalau tak, kita tidak akan maju.

“Saya memang daripada keluarga susah.

Dulu saya pernah menjual kuih basah di tepi jalan, namun syukur kini hasil rezeki yang ada, menu nasi ayam penyet ini terus menambat hari pelanggan,” ujarnya lagi.

Bagi penduduk Sarawak yang berkesempatan datang ke Mukah jangan lupa untuk berkunjung ke Kafe Sri Diana, yang terletak di gerai Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) di Tebingan Sungai Mukah.

Ataupun untuk tempahan Nasi Ayam Penyet Kafe Sri Diana orang ramai boleh menghubungi Mak Ayu atau Rabuyah Abdullah di talian 011-59047376.

 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak