391 kes positif dan lima lagi kematian baharu

KUCHING: Sarawak merekodkan sejumlah 391 kes positif Covid-19 dan lima lagi kematian baharu hari ini dengan mangsa masing-masing berusia 44 hingga 79 tahun.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, ia menjadikan keseluruhan meningkat kepada 33,477 kes dan 195 kematian dicatatkan.

“Daerah Sibu melaporkan jumlah tertinggi dengan 88 kes, Bintulu (55), Miri (50), Kapit (33), Kuching (26), Selangau (23), Sri Aman (19), Samarahan (11), Kanowit (11) dan Sarikei (10). “Sementara Mukah mencatatkan 10 kes, Pakan (8), Julau (7), Subis (6), Serian (6), Meradong (5), Tebedu (5), Bau (4), Sebauh (3), Tatau (3), Song (3), Saratok (2), Betong (1), Daro (1) dan Belaga (1).

“Daripada jumlah itu, hanya 58 orang menunjukkan tanda dan gejala jangkitan Covid-19, manakala seramai 308 orang adalah individu yang telah diberi perintah kuarantin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai kematian baharu, JPBNS berkata kematian ke-191 merupakan lelaki berusia 44 tahun yang digegaskan ke Klinik Kesihatan Bintangor selepas ditemui tidak sedarkan diri di rumah.

“Kematian seterusnya melibatkan lelaki berumur 79 tahun di Hospital Sibu pada 5 Mei serta mempunyai ko-morbiditi kanser paru-paru, penyakit paru-paru obstruktif kronik, darah tinggi, kencing manis dan dislipidemia.

“Kematian ke-193 pula lelaki 75 tahun yang mendapatkan rawatan di Hospital Sarikei kerana mengalami sesak nafas dan disahkan meninggal dunia pada 5 Mei serta mempunyai penyakit darah tinggi, paru obstruktif kronik dan buah pinggang kronik.

“Seterusnya lelaki 74 tahun di Hospital Bintulu juga meninggal pada 5 Mei serta mempunyai ko-morbiditi penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit buah pinggang kronik,” jelasnya.

Tambah JPBNS, kematian kelima adalah wanita warga emas berusia 79 tahun di Hospital Umum Sarawak yang dikesan hasil saringan kontak rapat kes positif Covid-19, dan meninggal pada 5 Mei serta mempunyai penyakit jantung.

Dalam perkembangan berkaitan, JPBNS memaklumkan tiada kluster baharu direkodkan dan jumlah kluster aktif di Sarawak kekal sebanyak 76.

“Manakala Daerah Tanjung Manis kembali ke status kuning daripada jingga menjadikan sejumlah 12 daerah kuning 12, jingga (4), merah (24) dan masih tiada daerah berstatus hijau,” tambah JPBNS.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak