ADUN Meradong gesa semakan semula senarai penerima vaksin

BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.46 Meradong, Datuk Ding Koung Hiing menggesa semakan semula ke atas senarai penerima vaksin di kawasan DUN berkenaan.

Beliau berkata, masalah timbul apabila majoriti penerima vaksin bukan penduduk Meradong sebaliknya mereka yang datang dari luar daerah itu.

“Kita tidak ada masalah dengan penerima luar Meradong, tetapi sepatutnya peluang perlu diberi sama rata.

“Kalau tidak 100 peratus pun sekurang-kurangnya seimbang. Kita campur campurlah, sebahagiannya dari luar manakala sebahagian lagi dari Meradong. Tetapi sehingga sekarang, jumlah penduduk Meradong yang mendapat vaksin masih kurang. Kalau kali pertama, kita boleh cakap ini kesilapan Mysejahtera, tapi kalau kali kedua, kali ketiga masih sama, mesti ada sesuatu yang tidak kena,” katanya dalam siding media, semalam.

Datuk Ding berkata, beliau sudah menghubungi beberapa pihak sebagai alternatif untuk menyelesaikan masalah itu termasuk menghubungi jawatankuasa pengurusan bencana bahagian dan Pengerusi JPBNS, Datuk Amar Douglas Uggah.

“Saya juga cuba menghubungi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin, namun malangnya, saya belum mendapat sebarang jawapan dari beliau lagi,” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sarikei dan Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JBPNS) serta Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) juga melakukan tindakan yang sewajarnya untuk membetulkan situasi tersebut.

“Kita tidak boleh terus begini. Rakyat Meradong sangat kecewa dengan situasi ini. Kalau kita lihat di PPV Meradong, kebanyakkannya dari luar daerah Meradong,” ujarnya.

Beliau berkata, setakat ini seramai 23,487 penduduk Meradong sudah mendaftarkan diri untuk vaksinasi dan jumlah itu merupakan yang tertinggi di bahagian Sarikei.

Sehubungan itu, Ding berharap ada pembaharuan dan penambahbaikan dalam proses pemberian vaksin di Meradong pada 22 dan 23 Mei ini.

Ding melakukan tinjauan ke atas PPV di Bintangor, semalam.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak