Bantu ibu tunggal jana pendapatan

KUCHING: Seorang ibu tunggal menjana pendapatan sampingan untuk menyokong keluarganya, hasil bantuan Persatuan Kebajikan Harapan (Hope Place) Kuching.

Baru-baru ini, Hope Place membuka cawangan kedua Kedai Bajet yang menjual barangan atau pakaian terpakai yang diderma oleh orang awam.

Kedai tersebut turut menjadi sebahagian daripada projek Hope Place iaitu Projek Bundle dan ibu tunggal itu, Rohani Wan Abdullah, 51, menjadi peserta penerima pertama.

Di bawah projek itu, penerima diberi peluang untuk menjual pakaian terpakai di kejiranan mereka dengan harga yang rendah.

Rohani telah memulakan projek itu pada Mac dan selepas lebih sebulan, dia kini mampu menjana pendapatan sendiri. Hope Place memberitahu, Rohani tinggal di Kampung Sungai Tapang bersama-sama dua orang anaknya serta tiga orang cucu.

“Anak perempuan sulung Rohani yang telah berpisah dengan suaminya mengalami tekanan dan mempunyai tiga orang anak.

“Selain itu, anak lelaki bongsunya pula yang mengalami kesihatan mental memerlukan penjagaan rapi, malah mempunyai kad kelainan upaya (OKU) serta masalah dalam pembelajaran,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dengan kesemua permasalahan yang berlaku itu, kini semuanya bergantung kepada Rohani bagi mencari rezeki untuk ahli keluarganya.

“Hope Place mula membantu Rohani dan keluarganya dari segi sumbangan makanan asas sejak Februari tahun lalu.

“Walaupun dia (Rohani) menerima bantuan kewangan daripada Baitulmal berjumlah RM300 setiap bulan dan anak lelakinya menerima RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun duit tersebut tidak mencukup untuk membayar sewa, peralatan persekolahan, bil dan sebagainya,” jelasnya.

Sementara itu, Rohani meluahkan dirinya berasa gembira kerana terlibat dalam projek itu. “Saya sentiasa inginkan kehidupan yang lebih baik untuk keluarga saya dan kini doa saya dimakbulkan,” katanya.

Menurut Hope Place lagi, Rohani dipilih sebagai peserta pertama projek itu kerana mempunyai pengalaman menjual kuih sebelum ini dan memahami asas dalam jualan. Rohani turut meminta bantuan saudaranya dari segi pengangkutan dan dengan menggunakan motosikal, dia menjual pakaian terpakai di sekitar kampung di Semariang, Samarahan, Petra Jaya serta Kem Tentera di Batu 8.

Rohani memberitahu, dia juga bercita-cita untuk memiliki sebuah kedai sendiri suatu hari nanti. Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut boleh menghubungi Hope Place di talian 082-505987.

Selain itu, Hope Place beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat, bermula 8 pagi hingga 5 petang dan Sabtu bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari. Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menyumbang ke akaun Persatuan Kebajikan Harapan Kuching di Maybank (5112-8900-1160) atau melawati laman Facebook Hope Place untuk mendapatkan kod QR Sarawak Pay.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak