Dr Annuar sebak, rayu warga sibu patuhi SOP

SIBU: Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) Dr Annuar Rapaee melahirkan rasa kecewa dengan kedegilan orang Sibu susulan tindakan berbaris di sebuah premis makanan segera di Jalan Sanyan pada pagi tadi.

Semasa strim langsung kemaskini perincian kes positif COVID-19 menerusi laman sosialnya sebentar tadi, beliau turut kelihatan sebak sambil menitiskan air mata merayu kepada penduduk Sibu agar memainkan peranan masing-masing untuk tidak lagi berbuat demikian.

“Tindakan yang berlaku pagi tadi amat membuatkan saya dan petugas barisan hadapan terguris dan kecewa seolah-olah orang Sibu tidak menghargai pengorbanan kami.

“Tanpa menghiraukan implikasinya disebabkan tindakan tersebut masyarakat Sibu masih dapat keluar pergi membeli makanan lagi sedangkan petugas barisan hadapan ketika ini sedang bertarung nyawa dengan penat lelah bertugas di hospital.

“Pengorbanan petugas barisan hadapan sekarang di hospital amatlah berat sehingga tidak mempunyai masa untuk makan disebabkan ramai pesakit COVID-19,” tegas Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu.

Beliau menyifatkan tindakan pada pagi tadi sungguh memalukan kepada imej Sibu kepada orang luar lebih-lebih lagi ketika kes COVID-19 masih lagi tinggi.

Tindakan orang ramai berbaris panjang itu semata-mata mahu mendapatkan BTS Meal yang ditawarkan premis makanan segera itu menjadi tular dan mendapat kecaman ramai netizen sehingga ke Semenanjung Malaysia.

Berbaris sehingga lebih 100 meter mengelilingi bangunan premis itu adalah amat luar biasa ketika waktu pandemik ini yang membuatkan orang ramai masing-masing merakam gambar dan memuatkannya di media sosial.

Dr Annuar berharap orang Sibu tidak lagi mementingkan diri sendiri dan fikirlah impak dari tindakan tersebut yang boleh menyebabkan bebanan kepada para petugas barisan hadapan di hospital.

“Marilah kita bantu petugas barisan hadapan kita dan mainkanlah peranan kita untuk mengurangkan kes. Buat masa ini jangan keluar rumah kalau tiada perkara penting,” katanya dengan nada sebak merayu kepada penduduk Sibu yang masih lagi degil.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi itu teringat sewaktu masih bertugas di Hospital Lau King Howe dahulu, kes denggi di Sibu amat tinggi sehingga hospital masa itu tidak mempunyai katil yang cukup sehingga terpaksa menggunakan kanvas sebagai alas kepada pesakit.

“Kita tidak mahu keadaan seperti ini berlaku kepada Sibu disebabkan kedegilan kita sendiri. Tolong jaga prosedur operasi standard (SOP) pakai pelitup muka, amalkan penjarakan sosial, kerap cuci tangan dan jangan pergi tempat sesak, itu sudah cukup.

“Masing-masing sudah diberitahu peranan diri sendiri, mahu tegur pun susah juga. Saya sudah banyak kali memberitahu tentang perkara ini.

“Sebenarnya saat ini ketika pandemik masih berada di tahap yang membimbangkan, penurunan kes atau untuk melawan COVID-19 ini adalah bergantung kepada sikap individu itu. Semalam Sibu mencatatkan sebanyak 49 kes positif COVID-19 mungkin itu mereka turun beramai-ramai ke premis berkenaan kerana berfikir keadaan sudah ok. Kita di Sibu tidak ok lagi,” tegas Adun Nangka itu.

Rentetan itu, Dr Annuar mengajak masyarakat Sibu supaya mempunyai rasa belas kasihan dan mengenang pengorbanan petugas barisan hadapan yang kini sedang bertungkus-lumus bertugas di hospital merawat pesakit COVID-19.

“Tindakan pagi tadi amat merbahaya bukan sahaja untuk diri sendiri malah orang lain. “Saya berharap kejadian ini tidak lagi berulang pada masa akan datang,” kata beliau.

Sehubungan itu, Dr Annuar menjelaskan bahawa keadaan di hospital Sibu katilnya mulai penuh dan akan mencari jalan untuk menambah katil lagi.

“Inilah yang mahu kita elakkan jika tidak hospital kita akan lumpuh disebabkan ramai pesakit. Tindakan pada pagi tadi boleh membebankan petugas barisan hadapan kita sekiranya tercetus kes semasa berbaris pagi tadi,” ujar beliau.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak