DTTAS seru perayaan Gawai tahun ini disambut penuh kesederhanaan dan keinsafan

KUCHING: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu menjalankan peranan dengan memantau dan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kampung dan rumah panjang masing-masing semasa Hari Gawai ini.

Presiden Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) Elias Lipi Mat berkata usaha itu sangat penting bagi mengelak berlakunya jangkitan dan penularan Covid-19.

“Kita tidak mahu melihat selepas tamatnya sambutan Hari Gawai maka Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terus dilaksanakan di kampung dan di rumah panjang disebabkan penularan Covid-19,” katanya dalam perutusan Hari Gawai, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata DTTAS menyokong penuh ketetapan SOP Hari Gawai yang di buat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) iaitu sambutan hanya dibenarkan antara ahli keluarga serumah sahaja dan keluarga sebilik sahaja bagi mereka yang menghuni rumah panjang.

Manakala bagi sambutan pra Gawai pada malam 31 Mei hanya dibenarkan untuk ahli keluarga serumah sahaja dan ahli keluarga sebilik bagi rumah panjang.

Bagi upacara miring pula dibenarkan bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sahaja dan hendaklah diadakan di suatu tempat atau ruai yang ditetapkan JKKK dengan kehadiran dihadkan kepada 20 orang sahaja.

“Kami mengingatkan masyarakat Dayak supaya tetap cekal dan tabah mengharungi situasi sepanjang PKPB dan PKPD yang masih dikuatkuasakan ketika ini.

“Kami juga ingin menggesa agar perayaan Hari Gawai tahun ini harus disambut dengan penuh kesederhanaan dan keinsafan,” katanya.

Sementara bagi rumah panjang dan kampung yang baru terlibat dengan perlaksanaan PKPD, Elias berkata DTTAS berharap agar penghantaran bantuan makanan disegerakan.

Pada masa sama, katanya DTTAS menggesa agar pemberian vaksin Covid-19 kepada individu yang telah mendaftar di negeri ini dipercepatkan terutama di kawasan berstatus merah.

Beliau menegaskan keutamaan vaksinasi harus diambil kira kepada penduduk di pedalaman, kerana mereka mengalami kesulitan keluar akibat masalah pengangkutan sekali gus membendung Covid-19 daripada merebak jauh di pedalaman.

“Kerajaan negeri juga perlu menyediakan bekalan vaksin secukupnya untuk rakyat Sarawak, perbanyakan lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mengikut kesesuaian lokaliti, terutamanya di luar bandar.

“Pada saat kita sibuk berbahas tanpa henti mengenai SOP, perkara yang lebih penting ialah mengenai pendaftaran dan vaksinasi menyeluruh untuk rakyat Sarawak,” katanya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak