Dua kluster baharu diisytiharkan di Kuching dan Serian, tiga kluster tamat

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) telah mengisytiharkan terdapat dua kluster baharu dikesan di Sarawak hari ini iaitu Kluster Kenyalang Park, Kuching dan Kluster Tebakang, Serian.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan berkata, Kluster Kenyalang Park merupakan satu komuniti yang dikesan melibatkan empat buah keluarga di Jalan Kenyalang Park, Kuching.

Katanya, sejumlah 65 individu telah disaring di mana 27 kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks manakala 38 kes didapati negatif.

“Kesemua kes positif Covid-19 ini telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak dan telah dimasukkan ke PKRC di Daerah Kuching bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan harian perkembangan Covid-19 di Sarawak, hari ini.

Tambah JPBN, Kluster Kluster Tebakang merupakan satu kluster komuniti yang dikesan di Kampung Tebakang Melayu, Serian.

Menurutnya, Sejumlah 78 orang individu telah disaring di mana 19 kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks manakala 54 kes telah didapati negatif semasa saringan.

Bagaimanapun, jelas JPBN terdapat lima kes yang masih menunggu keputusan makmal.

“Aktiviti pengesanan kontak untuk disaring masih lagi dijalankan, kesemua 19 kes yang didapati positif Covid-19 tersebut telah dimasukkan ke PKRC Serian untuk tujuan pengasingan dan rawatan lanjut,” ujarnya.

Dalam pada itu, JKNS hari ini juga telah mengisytiharkan terdapat tiga kluster tamat iaitu Kluster Jalan Baji, Sarikei, Kluster Nanga Kelangas, Julau dan Kluster Taman Mesra Bako, Kuching setelah tiada kes baharu dikesan atau dilaporkan melibatkan kluster-kluster ini dalam tempoh 28 hari yang lepas.

Manakala, sebanyak 83 kluster yang masih aktif – sebanyak 11 kluster telah merekodkan 66 penambahan kes baharu manakala 72 kluster tidak merekodkan penambahan kes.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak