Dua tan bekalan makanan telah diterbangkan ke kawasan terjejas banjir di Mulu

MIRI: Sebanyak dua tan bekalan makanan telah diterbangkan ke kawasan Mulu menerusi perkhidmatan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, hari ini.

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, bantuan makanan kecemasan mangsa banjir itu dihantar dua kali bermula jam 9.30 pagi dengan menggunakan pesawat jenis Agusta AW139 yang berpangkalan di Pangkalan Operasi Udara Bomba Miri.

Menurutnya, penerbangan dua kali dari Miri ke Mulu telah mengambil masa kira-kira 30 minit dilaporkan selamat mendarat di Pangkalan hadapan Mulu dengan membawa empat sortie dimana setiap sortie masing-masing mengandungi 500 Kilogram bekalan makanan.

“Dengan bantuan JBPM Miri kita berjaya menghantar bekalan makanan kepada mangsa-mangsa banjir di Mulu.

“Pagi tadi kita telah menerbangkan dua sortie makanan masing-masing berisi 500 kg bekalan makanan manakala pada sebelah petang sebanyak satu tan bekalan makanan juga telah berjaya diterbangkan dari Miri ke Mulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Menteri Pengangkutan Sarawak itu hadir sendiri ke Pangkalan Operasi Udara Bomba Miri bagi meninjau persiapan penghantaran bantuan kecemasan bekalan makanan, semalam.

Sementara itu, Ketua JBPM Zon 6 Miri Law Poh Kiong mengesahkan hasil pemantauan udara yang dilakukan pihak bomba semalam mendapati banjir di kawasan Ulu Baram beransur surut dan mengalir ke hilir.

Walaubagaimanapun tegasnya, hasil tinjauan pasukan bomba dengan menaiki bot mendapati keadaan air di kawasan hilir Baram dilaporkan menaik namun masih dalam keadaan terkawal.

SEDIA…Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin(tengah) bersama Ketua JBPM Zon 6 Miri Law Poh Kiong (kiri) memantau persiapan penghantaran bekalan makanan kepada mangsa banjir Mulu di Pengkalan Udara Operasi Bomba
 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak