Empat kematian baharu, 620 kes positif

KUCHING: Empat kematian baharu direkodkan akibat jangkitan Covid-19 di Sarawak hari ini, selain menyaksikan kes positif terus bertambah sebanyak 620 kes dengan 64 peratus daripada kes dikesan di Daerah Bintulu, Miri, Kapit, Sibu dan Bukit Mabong.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata Bintulu merekodkan kes tertinggi sebanyak 128 diikuti Miri (82), Kapit (81), Sibu (55), Bukit Mabong (51), Kanowit (42), Sri Aman (27) dan Belaga (26).

Selain itu Kuching (18), Beluru (16), Lundu (12), Subis (12), Saratok (11), Tebedu (10), Song (7), Pakan (6), Sarikei (5), Sebauh (5), Tatau (4), Betong (4), Selangau (4), Bau (4), Mukah (3), Meradong (2), Dalat (2), Tanjung Manis (2) dan Serian (1).

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 32,667 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjelas lanjut, ia berkata daripada 620 kes tersebut, seramai 53 orang telah menunjukkan tanda dan mengalami gejala jangkitan Covid-19 semasa saringan dijalankan.

Manakala, seramai 557 orang adalah terdiri daripada individu yang telah diberi arahan perintah kuarantin.

Mengenai kes kematian yang meningkat kepada seramai 188 orang, JPBN berkata ia melibatkan dua wanita masing-masing berusia 57 dan 78 tahun di Hospital Bintulu, seorang lelaki berusia 53 tahun di Hospital Miri dan seorang wanita berusia 44 tahun di Hospital Sibu.

Katanya bagi kes di Hospital Bintulu, kedua-duanya disahkan meninggal dunia pada 2 Mei lalu manakala di Hospital Miri dan Hospital Sibu pada 3 Mei.

“JPBN mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa,” katanya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak